lightning-solid
Berita :
14 Pelajar Cemerlang STPM 2025 Hulu Besut Diraikan, Seorang Antara Terbaik Kebangsaan
14 Pelajar Cemerlang STPM 2025 Hulu Besut Diraikan, Seorang Antara Terbaik Kebangsaan
Norekwan Mamat
5 jam yang lepas
104

BESUT, 26 Julai – Seramai 14 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut yang berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.80 hingga 4.00 diraikan dalam Majlis Kecemerlangan STPM 2025 sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik yang telah dicapai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, berkata majlis tersebut bukan sahaja mengharga usaha gigih para pelajar, malah bertujuan menyuntik semangat agar mereka terus melakar kejayaan pada peringkat pengajian yang lebih tinggi.

Menurut beliau, acara itu turut menjadi platform untuk merapatkan hubungan bersama para pelajar dan ibu bapa yang sentiasa menjadi tunjang serta pendorong utama di sebalik kejayaan anak-anak.

"Sebagai tanda penghargaan dan galakan, setiap pelajar menerima Sijil Penghargaan serta wang saguhati bagi menyuntik semangat untuk terus melakar kecemerlangan pada peringkat pengajian yang lebih tinggi," jelasnya ketika ditemui pihak media.

Lebih membanggakan, salah seorang pelajar dari DUN Hulu Besut, Wan Nur Mahirah  Wan Harun, muncul sebagai antara pelajar terbaik peringkat kebangsaan STPM 2025 apabila berjaya memperoleh PNGK sempurna 4.00.

Husaimi turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar yang diraikan dan berharap kejayaan tersebut menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

"Semoga anak-anak ini terus diberikan kekuatan, dipermudahkan segala urusan dalam menuntut ilmu serta menjadi generasi berilmu yang mampu memberi sumbangan besar kepada agama, bangsa dan negara," katanya.

"Syabas dan tahniah kepada semua pelajar cemerlang STPM 2025 DUN Hulu Besut. Semoga kejayaan ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak pencapaian gemilang pada masa hadapan," tambahnya.

Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, guru-guru serta semua pihak yang memainkan peranan penting dalam membimbing dan menyokong kejayaan para pelajar sehingga mencapai keputusan cemerlang dalam STPM 2025.


Tag :

Artikel Berkaitan