Berita :
20 Unit Tukun Tiruan Bakal Dilabuh di Pantai Batu Pelanduk Khamis Ini
20 Unit Tukun Tiruan Bakal Dilabuh di Pantai Batu Pelanduk Khamis Ini
Hidayah Azlin
1 jam yang lepas
44

KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Kerajaan Negeri Terengganu bakal melabuhkan sebanyak 20 unit tukun tiruan di perairan Pantai Batu Pelanduk, Dungun pada Khamis ini.

Program yang dijadualkan berlangsung pada 25 Jun 2026 itu merupakan siri kedua di bawah Program Labuh Tukun Negeri Terengganu bagi tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, inisiatif berkenaan merupakan usaha berterusan pihak kerajaan negeri dalam memelihara ekosistem marin dan memperkayakan sumber perikanan di perairan Terengganu.

"Bersiap untuk belayar ke Perairan Dungun. Insya-Allah pagi Khamis 25 Jun 2026 kita akan labuhkan 20 unit tukun tiruan di Pantai Batu Pelanduk, Dungun dalam siri kedua Program Labuh Tukun Negeri Terengganu Tahun 2026," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Usaha melabuhkan tukun tiruan ini dijangka memberikan impak yang besar dalam jangka masa panjang, terutamanya buat komuniti nelayan pantai di sekitar daerah Dungun.

 Antara objektif utama program ini ialah menjadi tempat pembiakan ikan dan perlindungan hidupan laut daripada aktiviti pukat tunda haram. Selain itu, memendekkan jarak perjalanan nelayan pantai untuk turun ke laut kerana habitat ikan dibentuk lebih dekat dengan pesisiran pantai. 

Sementara itu, ia juga berpotensi menjadi lokasi baharu bagi peminat aktiviti mencandat sotong dan sukan memancing.

Sebelum ini, program berkenaan telah dilaksanakan di beberapa lokasi tumpuan lain  dan ia membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menjaga keterjaminan makanan serta kebajikan para nelayan tempatan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan