Oleh : Abdul Fattah Kamarudin
Foto : Akhimullah Azis
MARANG, 4 Ogos - Penganjuran Karnival Kesejahteraan Rakyat Terengganu mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan tiada rakyat tercicir daripada menerima perkhidmatan kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, kerajaan negeri komited dalam memudahkan urusan rakyat, terutama penduduk di kawasan luar bandar yang mempunyai kekangan atau keuzuran untuk bergerak ke bandar bagi menyelesaikan urusan.
"Karnival Kesejahteraan Rakyat ini merupakan penganjuran kali kedua di DUN Pengkalan Berangan selepas siri pertama diadakan di Dewan Sivik Merchang kira-kira tiga minggu lalu.
“DUN Pengkalan Berangan diadakan sebanyak dua kali kerana saiz kawasannya antara yang terbesar di Negeri Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di karnival tersebut yang diadakan di Dewan Sivik Binjai Rendah di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Pegawai Khas ADUN Pengkalan Berangan, Mohd Rosbi Yusof berkata, penganjuran karnival itu memberi manfaat besar kepada rakyat kerana pelbagai urusan dapat diselesaikan di satu tempat.
“Terbuka kepada orang kampung yang ada masalah berkaitan agensi seperti KWSP, Tabung Haji, YAPEIM, PERKESO dan AKPK. Di samping itu, ada juga kaunter Pejabat Tanah Marang untuk urusan semak dan bayar cukai serta kaunter Terengganu Skills bagi promosi peluang anak-anak menyambung pelajaran.” ujarnya.
Katanya, konsep menghimpunkan pelbagai agensi di bawah satu bumbung bukan sahaja menjimatkan masa dan kos rakyat, malah memudahkan mereka mendapatkan bantuan serta maklumat yang diperlukan.
“Karnival seperti ini besar maknanya untuk rakyat. Kita kumpulkan semua di satu tempat untuk mudahkan urusan rakyat” ujarnya.