lightning-solid
Berita :
Yayasan Terengganu Buka Permohonan Skim Pinjaman Boleh Ubah ASUL dan Laluan MBBS UniSZA
Yayasan Terengganu Buka Permohonan Skim Pinjaman Boleh Ubah ASUL dan Laluan MBBS UniSZA
Rohayati Ripin
15 jam yang lepas
34

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos – Yayasan Terengganu membuka permohonan Skim Pinjaman Boleh Ubah bagi Program Asasi Ulul Albab (ASUL) dan laluan terus ke Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menurut Yayasan Terengganu, skim berkenaan bertujuan memberi peluang kepada pelajar Terengganu yang cemerlang dalam akademik dan hafazan al-Quran untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan melalui pembiayaan yang ditawarkan.

"Antara syarat umum yang ditetapkan ialah pemohon, ibu dan bapa mestilah rakyat Terengganu atau telah bermastautin di negeri itu sekurang-kurangnya 10 tahun. 

"Selain itu, ibu atau bapa perlu berdaftar sebagai pemilih di Terengganu, pemohon berumur tidak melebihi 25 tahun, belum berkahwin dan keutamaan diberikan kepada golongan B40," katanya.

Dari segi syarat akademik, calon perlu lulus SPM tahun semasa dengan memperoleh sekurang-kurangnya enam gred A (A+, A atau A-) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Kimia dan Biologi, selain memperoleh sekurang-kurangnya gred B+ bagi Matematik Tambahan dan Fizik.

Calon juga diwajibkan menghafaz sekurang-kurangnya 30 juzuk al-Quran, manakala bagi laluan ke MBBS, pelajar perlu mencapai CGPA ASUL sekurang-kurangnya 3.75.

Permohonan dibuka secara dalam talian bermula 30 Julai hingga 6 Ogos 2026 sebelum jam 12 tengah hari. Hanya calon yang layak dan disenarai pendek akan dipanggil menghadiri temuduga.

Keputusan tawaran akan dibuat berdasarkan kuota, merit, prestasi temuduga dan kelulusan mesyuarat yang berkaitan. 

Calon yang berminat boleh mengemukakan permohonan melalui portal ytpenajaan.terengganu.gov.my.


Tag :

Artikel Berkaitan