KUALA NERUS, 19 April - Melangkah ke pentas Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) sekali sahaja sudah memadai bagi sesetengah individu, namun bagi wakil Terengganu, Abdul Hadi Che Halim, semangatnya untuk memartabatkan kalimah suci Allah tidak pernah padam meskipun sudah lima kali beraksi di pentas berprestij itu.
Dalam keputusan yang diumumkan malam tadi, Abdul Hadi sekali lagi membuktikan kemampuannya sebagai ikon tilawah negeri apabila berjaya menduduki tempat ketiga dalam kategori Tilawah Al-Quran (Lelaki) dengan memperoleh markah 91.82.

"Lepas itu 2023 masuk dan 2024, dua kali masuk (bertanding). Selepas itu kena 'rehat' pula, 2025 tak boleh masuk. Selepas itu masuk pula peringkat negeri untuk tahun 2026 jadi johan.
"Jadi ini kali kelimalah untuk peringkat kebangsaan," katanya sambil berkongsi pengalaman panjangnya ke pentas kebangsaan bermula lebih kurang lapan tahun lalu.
Abdul Hadi yang juga pernah merangkul gelaran Naib Johan di peringkat kebangsaan pada tahun 2024 mengakui bahawa setiap penyertaan memberikan cabaran yang berbeza.

"Dia pun tidak 'seke' (sangka) dia Johan, maknanya dia baru pertama Kali masuk peringkat kebangsaan terus dapat Johan.
"14 orang ini kita tidak tahu masing-masing bagaimana dia punya kebolehan suara dia, kebolehan taranumnya dan juga al-Qurannya, kefasihan sebutan dia," ulasnya terhadap perkara itu.
Meskipun impian untuk bergelar Johan belum tercapai tahun ini, dia menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka dan menyifatkannya sebagai satu lagi proses pembelajaran.
Mengulas lebih lanjut, Abdul Hadi mengesahkan untuk kembali mencuba pada tahun hadapan.
Statusnya sebagai 'Johan Menunggu' bagi Negeri Terengganu memberi laluan kepadanya untuk terus bertanding di peringkat negeri tanpa perlu melalui saringan daerah.
"Dah jadi Johan menunggu jadi tidak perlu pergi saringan peringkat daerah itu untuk ke peringkat negeri.
"Dan jika ada lagi peluang, mungkin tahun depan saya mencuba lagi. Insya-Allah, jadi kalau ikut untuk tahun depan itu mungkin semangat lagilah untuk menghadapi cabaran dalam majlis Tilawah al-quran," katanya dengan penuh semangat
Baginya, penyertaan dalam tilawah bukan sekadar mengejar kemenangan, tetapi merupakan satu medan untuk sentiasa memperbaiki bacaan sendiri dan meninggikan darjat al-Quran, khususnya di Terengganu serta negara.
Kategori Tilawah Bahagian Lelaki tahun ini dimenangi oleh Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali dari Perak (92.34), manakala tempat kedua disandang oleh Muhammad Saleem bin Noor Muhamad dari Johor (92.16).
Secara keseluruhannya, Negeri Terengganu membawa pulang dua kedudukan podium dalam kategori Tilawah Al-Quran pada edisi kali ini menerusi kejayaan Abdul Hadi di tempat ketiga kategori Qari serta Nor Jannah Abd Rahman yang turut merangkul tempat ketiga bagi kategori Qariah dengan pungutan markah 90.99.