KEMAMAN, 19 April - Kerajaan negeri menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadi punca pencemaran tompokan minyak di Pantai Teluk Kalong sehingga menjejaskan ekosistem dan hidupan laut di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kapal yang dikenal pasti sebagai punca kejadian.
Katanya, kapal terbabit merupakan salah sebuah daripada kira-kira 20 kapal yang berlabuh di kawasan Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB), dan siasatan awal JAS telah berjaya mengenal pasti sumber pencemaran tersebut.
“Saya memandang serius isu ini dan berharap tindakan maksimum dapat diambil. Kita tidak akan berkompromi dalam hal pencemaran alam sekitar,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian, kelmarin.
Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal memaklumkan, tumpahan minyak jenis gris dipercayai berlaku semasa kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan di atas kapal berkenaan.
Beliau berkata, sampel bahan pencemar itu telah diambil oleh pi

“Pensampelan sedang dilakukan bagi mengenal pasti sama ada bahan ini memberi risiko kepada aktiviti rekreasi seperti mandi-manda. Keputusan analisis akan membantu tindakan lanjut,” ujarnya.
Dalam masa sama, kerja-kerja pembersihan telah digerakkan oleh kontraktor yang dilantik Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) sejak semalam dan akan diteruskan secara berkala sehingga keadaan pantai kembali pulih sepenuhnya.
Tambah beliau, semua pengusaha kapal yang berlabuh di perairan negeri ini diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika menjalankan sebarang kerja penyelenggaraan bagi mengelakkan insiden sama berulang.
Sebelum ini, Pantai Teluk Kalong pernah tercemar akibat tumpahan arang batu pada hujung Januari lalu. Insiden terbaharu menyaksikan tompokan minyak dikesan sepanjang kira-kira dua kilometer kawasan pantai sejak Isnin lalu.
Selain mencemarkan persekitaran, kejadian itu turut menyebabkan puluhan hidupan laut termasuk ikan, sotong dan ketam ditemui mati, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan pengunjung.

Tag :