TERENGGANU, 19 April – Kerajaan Negeri Terengganu melakar sejarah baharu dalam sektor perikanan apabila mengumumkan bakal melabuhkan sebanyak 140 unit tukun di sepanjang perairan negeri itu bermula tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, inisiatif berskala besar itu akan melibatkan tujuh buah daerah yang mempunyai kawasan pantai, bermula dari Kemaman hingga ke Besut.
Menurut beliau, bagi tahun 2026, setiap lokasi di tujuh daerah berkenaan dijadualkan menerima sebanyak 20 unit tukun.
"Bilangan 140 unit tukun setahun yang bakal dilabuhkan nanti merupakan jumlah terbesar pernah dicatatkan dalam sejarah Program Labuh Tukun Negeri Terengganu," katanya menerusi satu hantaran di laman sosial miliknya, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan lokasi, Dr. Azman menjelaskan bahawa penentuan koordinat pelabuhan tukun tidak dibuat secara melulu. Ia memerlukan pertimbangan rapi bagi memastikan keberkesanan projek tersebut kepada ekosistem marin dan ekonomi nelayan.
"Antara kriteria utama pemilihan lokasi termasuklah mengambil kira input daripada nelayan setempat yang lebih memahami kawasan lubuk ikan.Selain itu, kerjasama erat bersama Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) dan Jabatan Perikanan. Sampel tanah juga akan diambil bagi memastikan struktur dasar laut (berpasir atau berselut) mampu menampung berat tukun.
Dr. Azman turut menekankan kepentingan penelitian teknikal terhadap keadaan dasar laut sebelum proses melabuh dilakukan.
"Keadaan dasar laut diambil kira kerana jika tukun dilabuhkan di kawasan dasar yang lembut, terdapat risiko besar untuk tukun tersebut terbenam dan tidak dapat berfungsi sebagai habitat ikan dengan berkesan," tambah beliau.
Program ini diharapkan dapat meningkatkan sumber pendaratan ikan sekali gus menjamin keterjaminan makanan serta meningkatkan taraf hidup komuniti nelayan di seluruh Terengganu.
Tag :