Berita :
Mesyuarat Singkat Tapi Berkesan, Dr Azman Kongsi Rahsia Pentadbiran MB Terengganu
Mesyuarat Singkat Tapi Berkesan, Dr Azman Kongsi Rahsia Pentadbiran MB Terengganu
Hidayah Azlin
1 jam yang lepas
57

KUALA TERENGGANU , 24 Jun – Kecekapan mengendalikan mesyuarat tanpa membuang masa menjadi kunci utama keberkesanan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Gaya kepimpinan beliau yang praktikal dan fokus kepada hasil didedahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menerusi satu perkongsian di laman media sosial rasminya.

Menurut Dr. Azman, Dr. Sam dikenali sebagai seorang pengerusi yang tidak gemar membuang masa dengan ucapan mukadimah yang panjang berjela, sama ada ketika mempengerusikan Mesyuarat Exco, Mesyuarat Perancang Negeri, mesyuarat agensi kerajaan, mahupun mesyuarat parti. 

"Sebagai pengerusi, biasanya beliau tidak banyak cakap. Fokus utama adalah terus kepada agenda yang telah ditetapkan.

"Ahli mesyuarat sentiasa diberi peluang untuk bercakap sekiranya mempunyai hujah atau isi yang penting, dengan syarat tidak mengulang-ulang perkara yang sama," katanya. 

Mengulas lanjut mengenai proses pembuatan keputusan, Dr. Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri berkata, Dr. Sam mengamalkan pendekatan syura yang sangat inklusif sebelum sesuatu ketetapan diambil.

"Keputusan mesyuarat akan dibuat berdasarkan pendapat yang paling kuat. Apabila timbul sesuatu perkara berbangkit, pendapat ahli mesyuarat akan ditanya terlebih dahulu sebelum pengerusi membuat keputusan muktamad. 

"Malah, apabila memasuki agenda hal-hal lain, semua ahli mesyuarat sekali lagi akan diberi peluang secara 'round table' sekiranya ada perkara berbangkit yang ingin dikemukakan," jelas beliau.

Tambah Dr. Azman, budaya kerja yang cekap dan teliti ini menyebabkan setiap mesyuarat yang dipimpin oleh Menteri Besar kebiasaannya tidak mengambil masa yang lama.

"Apa yang paling penting ialah keputusan yang dicapai dapat dilaksanakan dengan segera demi kepentingan rakyat," ujarnya lagi.





Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan