Berita :
Pemangku Raja Terengganu Titah Budaya Menabung Bakal Haji Jadi Inspirasi Generasi Muda
Pemangku Raja Terengganu Titah Budaya Menabung Bakal Haji Jadi Inspirasi Generasi Muda
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
78

KUALA NERUS, 3 Mei – Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, amalan menabung yang dilakukan bakal haji dengan penuh disiplin dan istiqamah melalui Tabung Haji wajar dijadikan inspirasi kepada masyarakat, khususnya generasi muda umat Islam.

Baginda bertitah, usaha merancang perjalanan menunaikan ibadah haji perlu dimulakan sejak awal, dengan menjadikan budaya menabung sebagai amalan berterusan dalam kehidupan.

“Beta percaya ini juga mencerminkan kesungguhan, kesabaran dan ketekunan luar biasa oleh para bakal haji yang telah memulakan langkah menabung sejak awal.

“Amalan menabung secara konsisten sejak awal ini membuktikan bahawa dengan kesabaran, perancangan dan usaha yang berterusan, seseorang itu boleh mencapai kemampuan untuk menunaikan ibadah haji dengan sempurna,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Jemaah Haji, sempena Majlis Pelepasan Jemaah Haji Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Baginda bertitah agar seramai 1,870 jemaah haji Terengganu, termasuk 142 jemaah yang berlepas semalam, memanfaatkan sebaik-baiknya kesempatan terpilih sebagai tetamu Allah.

Baginda turut menzahirkan harapan supaya para jemaah memperbanyakkan ibadah serta sentiasa memelihara nama baik negara sepanjang berada di Tanah Suci.

“Di samping menunaikan segala rukun dan wajib haji dengan sempurna, Beta juga berharap agar para jemaah tidak lupa untuk memperbanyakkan doa di Tanah Suci agar negeri Terengganu khususnya dan Malaysia amnya terus dilimpahi keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang berkekalan.

“Akhirnya, Beta mendoakan agar perjalanan semua jemaah haji sentiasa selamat, dipermudah segala urusan, serta dianugerahkan haji yang mabrur dan kembali ke tanah air dalam keadaan sihat, sejahtera serta membawa pulang keberkatan kepada keluarga dan masyarakat,” titah Baginda.

Terdahulu, keberangkatan tiba Pemangku Raja Terengganu diiringi Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Dato’ Seri Fatimatuz Zahra.

Keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pada majlis berkenaan, Pemangku Raja Terengganu turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan