Berita :
Sediakan Infra Asas, Kerajaan Terengganu Bina Jalan Batu Kasaran Di RTB Kampung Bari Kecil
Sediakan Infra Asas, Kerajaan Terengganu Bina Jalan Batu Kasaran Di RTB Kampung Bari Kecil
Hidayah Azlin
2 jam yang lepas
43

SETIU, 22 Jun– Kerajaan Negeri Terengganu komited memastikan kawasan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur asas bagi memudahkan rakyat membangunkan lot tanah masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, agenda pengagihan lot tanah sama ada untuk tapak rumah mahupun sektor pertanian merupakan langkah paling efektif dalam memastikan rakyat Terengganu memiliki aset tanah sendiri.

Bagaimanapun menurut beliau, pemberian tanah berkenaan perlu bergerak seiring dengan penyediaan kemudahan jaringan jalan raya bagi memastikan kawasan tersebut boleh diakses dan dimajukan tanpa sebarang kekangan.

"Seiring dengan agihan lot tanah tersebut, pembangunan infra terutama jalan juga perlu dibina bagi memudahkan tanah tersebut dimajukan.

"Untuk RTB Kampung Bari Kecil di Setiu, kita bina jalan batu kasaran terlebih dahulu sebagai peringkat awal," katanya dalam satu kenyataan di laman media sosial rasmi beliau, hari ini. 

Dr. Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi turut memberi jaminan bahawa kemudahan jaringan jalan raya tersebut akan ditingkatkan kualitinya demi keselesaan penduduk pada masa akan datang.

"Insya-Allah, apabila kawasan berkenaan mula membangun dan rumah-rumah penduduk sudah didirikan nanti, laluan batu kasaran ini akan dinaiktaraf kepada jalan berturap (tar)," jelas beliau.

Inisiatif penyediaan infrastruktur awal ini dijangka bakal memberi kelebihan dan dorongan kepada para penerima lot RTB Kampung Bari Kecil untuk memulakan proses pembinaan kediaman atau mengusahakan aktiviti pertanian dengan lebih lancar.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan