Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu, Negeri Sembilan Perkasakan Kerjasama Tadbir Urus Negeri
Terengganu, Negeri Sembilan Perkasakan Kerjasama Tadbir Urus Negeri
Hidayah Azlin
22 jam yang lepas
55

CC FOTO : FAEZ

KUALA TERENGGANU, 14 September - Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan keterbukaan untuk terus memperkukuh jentera pentadbiran menerusi perkongsian amalan terbaik bersama Kerajaan Negeri Sembilan demi kepentingan rakyat di kedua-dua negeri.

Sikap rendah diri itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato' Dr Azman Ibrahim semasa mewakili Menteri Besar Terengganu menerima kunjungan delegasi khas dari Negeri Sembilan di Seri Iman, Sabtu lalu.

Lawatan Penandaarasan Pasukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan itu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Mohd Fairuz  Mohd Isa.

Dr Azman berkata, platform perjumpaan berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya untuk bertukar idea, kerangka dasar dan strategi pengurusan portfolio negeri secara proaktif.


"Kita di Terengganu juga sebenarnya masih baharu dalam kerajaan dan banyak lagi perkara yang perlu dipelajari.

"Namun ada sikit sebanyak pengetahuan dalam menguruskan pentadbiran negeri bolehlah dikongsi bersama rakan-rakan dari Negeri Sembilan sebagai sedikit panduan dan perkongsian pengalaman," katanya menerusi satu kenyataan.

Pertemuan peringkat pimpinan tertinggi itu turut disertai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Hj Wan Sukairi Wan Abdullah dan Dato' Ariffin Deraman.


Mengulas lanjut, Dr Azman optimis bahawa sinergi rentas negeri seperti itu mampu menyuntik dinamika baharu dalam penyampaian perkhidmatan awam.

"Semoga YB Exco Negeri Sembilan dan seluruh pasukan dapat melakukan yang terbaik dalam memberikan khidmat berimpak tinggi kepada negeri dan rakyat mereka," tambah beliau.


Perkembangan ini sekali gus membuktikan komitmen berterusan kepimpinan Terengganu dalam mengamalkan pendekatan matang dan terbuka demi memantapkan kualiti tadbir urus kerajaan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan