Berita :
Terengganu Syor Syarat Subsidi Minyak Nelayan Baharu Dilonggarkan
Terengganu Syor Syarat Subsidi Minyak Nelayan Baharu Dilonggarkan
Hidayah Azlin
11 jam yang lepas
261

KUALA TERENGGANU, 14 Mei – Kerajaan Negeri Terengganu sedia membawa usul kepada pihak berkaitan bagi menyemak semula syarat kelayakan permohonan minyak bersubsidi membabitkan pemegang lesen sampan nelayan yang baharu.

Cadangan tersebut dikemukakan bagi mengecualikan syarat wajib turun ke laut selama 120 hari sebelum seseorang nelayan itu layak memohon bantuan bahan api berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, langkah itu dilihat perlu memandangkan situasi ekonomi semasa dan harga petrol yang tinggi membebankan golongan nelayan kecil.

“Nelayan kini berdepan kesukaran modal untuk turun ke laut. Sebagai contoh, 50 liter petrol tidak mencukupi untuk kegunaan sebuah sampan fiber dengan enjin 40 hp.

“Jika mereka tidak mampu turun ke laut kerana ketiadaan modal, maka sampai bila-bila pun mereka tidak akan layak untuk memohon minyak bersubsidi. Saya menilai pandangan ini berpijak di bumi nyata dan Insya-Allah, kita akan bawa perkara ini ke peringkat atasan,” katanya.

Terdahulu, perkara tersebut dibangkitkan oleh Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu), Mat Yassim Mohammed, 65 dalam satu pertemuan baru-baru ini. Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) menyifatkan kekangan syarat tersebut sebagai penghalang kepada nelayan baharu untuk memulakan kelangsungan hidup.

Dalam perkembangan sama, Dr. Azman turut menjelaskan kejayaan kerajaan negeri menyelesaikan kemelut lesen nelayan yang telah berlarutan lebih 40 tahun melalui penubuhan Task Force Lesen Sampan Nelayan pada tahun 2019.

Beliau menegaskan, walaupun kuasa meluluskan lesen terletak di bawah bidang kuasa Ketua Pengarah Perikanan Malaysia di peringkat Kerajaan Pusat, namun komitmen proaktif kerajaan negeri menjadi kunci utama kejayaan tersebut.

“Kerajaan negeri menubuhkan ‘Task Force’ bagi menyelaraskan tindakan bersama Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan. Kita bantu mohon bagi pihak nelayan kerana sedar kesukaran yang dihadapi jika mereka memohon secara individu.

“Hasilnya, sebanyak 1,036 lesen telah berjaya diluluskan dalam tempoh 2021 hingga 2026 dan baki agihan terakhir telah selesai dilakukan pada bulan Ramadan yang lalu,” jelas beliau.

Mengulas mengenai rungutan negeri lain yang mendakwa Terengganu menerima kuota kelulusan yang tinggi, Dr. Azman menyifatkan ia adalah hasil usaha rundingan dan susulan yang konsisten tanpa henti oleh pihak negeri.

Sehubungan itu, beliau berharap LKIM dapat menyegerakan proses pemberian minyak subsidi serta Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) kepada pemegang lesen baharu tersebut sebaik sahaja syarat-syarat yang ditetapkan dipenuhi.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan