KUALA TERENGGANU, 23 Ogos - Kerajaan negeri kesal dengan tindakan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) yang tidak membenarkan dua atlet Terengganu bertanding dalam sukan angkat berat pada Sukan Malaysia (SUKMA) Johor Mac 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, alasan yang diberikan berkait dengan isu doping terhadap kedua-dua atlet itu pada SUKMA Perak dua tahun lalu adalah tidak munasabah.
Ini kerana katanya, atlet tersebut telah digantung selama lapan bulan bermula September sehingga Mei 2018, selain telah memulangkan kembali pingat-pingat yang diperoleh (1 emas, 1 perak dan 2 gangsa) kepada Majlis Sukan Negara Malaysia (MSNM).
“Selepas habis tempoh pergantungan dan mengikuti beberapa program pendidikan, atlet-atlet ini telah pun dibenarkan bertanding dalam kejohonaan peringkat negeri dan juga antarabangsa.
“Yang menghairankan kenapa mereka tidak dibenarkan bertanding dalam SUKMA Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Wan Sukairi berkata, keputusan itu dilihat kurang bijak dan tidak adil sama sekali kerana atlet yang berlatih untuk mewakili negeri ke SUKMA Johor tidak dibenarkan.
“Sebaliknya membenarkan salah seorang daripada mereka mewakili negara," jelasnya.
Melihat keadaan itu, kerajaan Terengganu bimbang kerana di sebalik isu berkenaan seolah-olah ada perkara yang telah dirancang.
“PABM sepatutnya memperjuangkan nasib atlet-atlet negara tanpa mengira dari negeri mana mereka lahir atau bertanding, bukannya menghukum secara tidak berprinsip.
“Oleh itu, bagi mengelak isu ini bertambah keruh, pihak kami meminta Menteri Belia dan Sukan Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican masuk campur, kerana Terengganu bersama beberapa pihak berkaitan mahukan keadilan,”katanya