Isu ‘Tiang Nabi Khidir Bersandar’ Tidak Dibawa Ke Panel Jawatankuasa Fatwa- Mufti Terengganu

KUALA TERENGGANU, 17 Julai- Isu dakwaan tiang yang menjadi tempat Nabi Khidir bersandar ketika bertemu ulama tersohor Terengganu, Tok Ku Paloh tidak akan dibawa ke Panel Jawatankuasa Fatwa.

Mufti Terengganu, Dato’ Dr Mohamad Sabri Haron berkata, Pegawai Penguatkuasa Syariah telah pergi ke surau berkenaan yang terletak di Kampung Paloh, di sini untuk melakukan siasatan dan mendapati tiada bukti yang menjelaskan tiang surau itu pernah menjadi tempat bersandar Nabi Khidir seperti diviralkan.

“Ada penguatkuasa dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu yang telah pergi ke sana dan didapati bahawa perkara tersebut tidak benar.

“Pada zaman Tok Ku Paloh dulu tidak timbul cerita ini, anak-anak ulama tersohor itu sendiri pun sudah meninggal dunia, jadi tidak ada saksi yang boleh menjelaskan perkara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program Terengganu Bertadabbur Siri II yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Maidam, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, semalam.

Mengulas lanjut katanya, video mengenai tiang surau dijadikan tempat bersandar Nabi Khidir itu dipercayai dirakam dan ditimbulkan pemandu pelancong yang membawa sekumpulan pengunjung dari luar Terengganu sehingga menimbulkan isu tersebut.

Katanya, Jabatan Mufti negeri tidak boleh mengesahkan kerana tiada bukti yang menunjukkan perkara itu berlaku.

“Dari sudut keluarga Tok Ku Paloh sendiri menafikan perkara ini dan kita tidak boleh hendak mengesahkan perkara ini kerana tidak ada bukti yang menunjukkan perkara tersebut berlaku.

“Bagi pihak kita, sekiranya ada apa-apa isu yang di bawa ke jabatan mufti, akan ada panel jawatankuasa yang akan mengesahkan.

“Tetapi dalam hal ini tidak perlu dibawa kepada Panel Jawatankuasa Fatwa kerana perkara ini sudah jelas dilihat bahawa dari sudut penguatkuasaan didapati tidak ada bukti-bukti yang menjelaskan tentang apa yang berlaku dalam viral tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, video berdurasi 2 minit 58 saat yang di muat naik seorang inivididu menerusi aplikasi Tik Tok bertajuk ‘Tabaruk Tiang Nabi Khidir Bersandar di Terengganu' kembali ditularkan baru-baru ini.

Video tersebut memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita berkunjung ke sebuah surau didakwa berada Makam Tok  Ku Paloh di Kuala Terengganu.

Beberapa pengunjung dilihat diberi penerangan oleh seorang lelaki selain terdapat pengunjung yang menunaikan solat serta mengusap tiang yang didakwa menjadi tempat Nabi Khidir bersandar.