KUALA NERUS, 3 November - Terengganu FC memastikan tempat ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 apabila menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC dengan agregat 4-2, dalam aksi separuh akhir kedua, hari ini.
Melayan kunjungan The City Boys di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Sang Penyu menang 2-1 hasil jaringan berganda penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut.
Di awal perlawanan, pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner dilihat seakan-akan mahu mempertahankan kelebihan jaringan apabila menurunkan Liridon Krasniqi mengemudi pasukan.
Namun, segalanya tampak berbeza apabila tuan rumah menguasai permainan dengan rangkaian serangan seawal minit pertama.
Pada minit ke-9, Liridon melakukan rembatan dari luar kotak penalti yang singgah ke sisi gawang.
Empat minit kemudian, permainan satu dua Ivan dan Sony Norde hampir membuahkan hasil, tetapi rembatan Sony berjaya ditampan penjaga gol pelawat, Kevin Mendoza.
Terengganu FC terus menyerang menerusi rembatan deras ketua pasukan, Habib Haroon yang ditepis Kevin pada minit ke-16.
KL City FC melakukan serangan balas pada minit ke-25 menerusi rembatan Sebastian Avanzini yang menggegar sisi gawang Suhaimi Husin.
Memasuki minit ke-42, Nor Hakim Hassan berjaya melorongkan bola kepada Ivan Mamut yang melakukan 'turning' sebelum rembatannya menggegarkan jaring untuk gol pertama perlawanan.
Separuh masa pertama tamat dengan tuan rumah selesa mendahului satu gol.
Memasuki babak kedua, The City Boys tidak menunggu lama untuk bangkit menyamakan kedudukan.
Pada minit ke-51, kesilapan pertahanan menampan bola lintang Muhammad Haqimi Azim membolehkan Romel Morales menanduk masuk bola ke gawang yang terbuka.
Terengganu FC kembali mengatur serangan dalam usaha memastikan tempat ke perlawanan akhir.
Ivan Mamut sekali lagi memecahkan sorakan penyokong apabila melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti setelah menerima bola dari Liridon tepat ke bucu gawang untuk gol kedua tuan rumah pada minit ke -68.
Terengganu FC kembali di depan dengan kelebihan satu jaringan.
Seminit kemudian, Sang Penyu hampir menjarakkan kedudukan, tetapi bola umpanan Ivan tidak berjaya disudahkan Syahmi Zamri.
Pada minit ke-87, Syahmi sekali lagi berpeluang menghasilkan jaringan, namun Kevin cemerlang menampan bola rembatannya.
Perlawanan berlangsung hangat dengan kedua-dua pasukan lebih agresif menguasai bola, bagaimanapun tiada jaringan tambahan dihasilkan sehingga tamat separuh masa kedua.
Keputusan penuh perlawanan kekal 2-1 dengan Terengganu FC mengesahkan langkah ke perlawanan akhir di hadapan lebih 25,000 penyokong.