KUALA NERUS, 13 Januari - Jalan Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini, ditutup sepenuhnya apabila laluan dari Batu Rakit menghala ke Mengabang Telipot runtuh akibat dibadai ombak, kira-kira 9 malam tadi.
Laluan sepanjang kira-kira 50 meter (m) itu dikatakan runtuh selepas dibadai ombak besar setinggi 2.4 m serta angin kencang bermula 6 petang dan berlarutan sehingga awal pagi ini.
Tinjauan pagi tadi mendapati, terdapat rekahan baru dan dijangka menjadi lebih teruk apabila ombak pada malam ini dikatakan lebih tinggi mencecah sehingga tiga meter dengan kelajuan angin yang lebih kuat.
Salah seorang penduduk yang ditemui, Mohd Nor Ali, 69, berkata sepanjang hidupnya, itulah pertama kali dia berhadapan hakisan paling teruk di Pantai Batu Rakit.
“Sejak tahun kebelakangan ini, ombak makin dekat dan mengganas pada musim tengkujuh membuatkan kami semua rasa takut dengan situasi itu.
“Kalau dulu kami ada pantai yang indah tetapi kini sebahagian besar hilang ditelan ombak termasuk kediaman, kedai dan tanah perkuburan yang turut musnah,” katanya.
Berkongsi keresahan, Mohd Nor melahirkan kebimbangan jika tidak ada tindakan segera oleh pihak berwajib, tidak mustahil hakisan itu merebak sehingga ke pantai Merang, Setiu.
“Segerakan benteng pemecah ombak supaya hakisan ini dapat disekat dan saya mohon terutama kerajaan pusat tolong percepatkannya kerana saya tahu ini bawah peruntukannya,” tambahnya lagi.
Bagi Zamri Mohamad, 51, dia merasa sedih melihat tempat permainan zaman kecil telah lenyap apabila daratan pasir memutih kini hilang dari pandangan mata.
“Dulu kawasan pantai dengan pasir lebih kurang 500 meter dari jalan raya tapi kini angkara ombak… semua itu telah lenyap dan hanya tinggal kenangan.
“Redha tetapi tolong percepatkan benteng atau apa jua cara supaya kami tidak kehilangan lebih banyak memori di tanah kelahiran yang mana satu hari nanti tidak mustahil ia akan hanya tinggal sejarah,” katanya.