Jangan Guna Produk Tidak Berdaftar

Dr Kamaruzaman ketika merasmikan Karnival Farmasi Negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu, hari ini.
KUALA TERENGGANU- Pengarah Bahagian Amalan Dan Perkembangan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Kamaruzaman Saleh menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan produk tidak berdaftar atau kosmetik yang tidak bernotifikasi dengan KKM.

Katanya, orang ramai boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk atau notifikasi kosmetik melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my atau dengan menghubungi bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.










“Orang awam boleh semak ketulenan sesuatu produk itu melalui laman sesawang yang kita sediakan.

“Jangan terpengaruh dan mudah terpedaya dengan iklan-iklan yang banyak terdapat di media sosial dan sepatutnya sebelum menggunakan sesuatu produk kesihatan mahupun kecantikan, orang awam perlu mendapatkan nasihat daripada pegawai kesihatan yang bertauliah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Farmasi Negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu (11 Oktober).

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh.


Sementara itu katanya, karnival tersebut diadakan untuk memperkenalkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Farmasi komuniti dan syarikat farmaseutikal serta peranan masing-masing kepada orang awam.

“Karnival ini juga bertujuan memberi pengetahuan dan meningkatkan kesedaran pengguna mengenai penggunaan ubat secara berkualiti dan kawalan ubat-ubat berdaftar dengan KKM serta aspek keselamatan pengubatan bagi memastikan pengguna menerima ubat yang betul dan selamat,” ujarnya.


Tag: