Jebat Coffee Mula Beroperasi

Foto oleh : Jebat Photograpicker

KEMAMAN, 20 September - Seperti menjadi ikutan pada hari ini, semakin banyak kedai kopi telah dibuka. Terbaru, sebuah kedai kopi yang dinamakan "Jebat Coffee" mula beroperasi sejak 14 September yang lalu.

Selain rasa kopinya yang enak, Jebat Coffee mempunyai keunikan tersendiri dengan mengekalkan tradisi melayu dengan kakitangan lelakinya yang diwajibkan untuk "Bertanjak" sebagai tema bagi kedai kopi itu.

Pemiliknya, Mohd Hafiz Mahari, 33 tahun memanjat kesyukuran kehadrat Ilahi di atas pembukaan kedai kopinya itu.

"Alhamdulillah, kedai sudah mula beroperasi dan dibuka untuk orang ramai. Saya mengharapkan semua pihak dapat datang ke kedai kami bagi memberi sokongan pada perniagaan yang diusahakan oleh anak muda," ujarnya.

Katanya lagi, pelbagai jenis minuman kopi istimewa yang ada di kedainya seperti kopi jebat, tuah, lekir, lekiu dan kasturi. Manakala makanan yang istimewa iaitu "Char Kuew Teow".

"InsyaAllah untuk masa akan datang kami akan menyediakan dan menambah lebih banyak menu makanan dan minuman.

Semoga ianya memenuhi citarasa pelanggan yang hadir ke kedai kopi kami, seterusnya tidak jemu-jemu untuk terus berkunjung bagi menikmati keistimewaan makanan dan minuman yang ditawarkan di sini," ujarnya ketika ditemui pemberita, semalam.

Beliau yang pernah merangkul pingat emas Sukan SEA ke-25 bagi acara silat olahraga kelas A Putra yang berlangsung di Laos pada tahun 2009 itu turut membuka perniagaan tersebut bersama empat lagi rakan kongsinya.

Kepada peminat kopi yang ingin menikmati keenakan kopi di kedai beliau boleh berkunjung di No 90, Bandar Baru Putra, Kampung Mak Lagam.


Tag: