Kadar Zakat Fitrah Terengganu RM10 dan RM22

KUALA TERENGGANU, 8 Mac – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memaklumkan bahawa kadar zakat fitrah umat Islam di negeri ini mengikut dua kategori iaitu sebanyak RM10 dan RM22.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata kategori pengguna beras tempatan adalah RM10 seorang manakala kategori mereka yang memakan beras jenis Basmathi atau yang setara adalah RM22 seorang.

“Dua kadar bayaran zakat fitrah itu adalah mengikut jenis beras yang dimakan setiap hari berdasarkan harga gred Super Tempatan dengan lima peratus hancur dalam pasaran.

“Penetapan kadar zakat fitrah itu juga telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan agihan bantuan zakat sempena Ramadan Asnaf Fakir Miskin di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini, kelmarin.

Tambah Shaikh Harun, seramai 903 amil dilantik untuk membuat kutipan zakat fitrah pada tahun ini.

Menurutnya, MAIDAM menyasarkan dapat mengutip zakat fitrah tahun ini sebanyak RM11 juta berbanding hanya RM10.3 juta tahun lalu.

“Kita juga menyarankan semua amil membuat kutipan zakat fitrah dari rumah ke rumah dan bukan hanya memberi tumpuan di masjid atau surau,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: