KAFA d'Hijrah Satu Anjakan Dalam Pendidikan
KUALA LUMPUR, 31 Januari - Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) yang akan bermula pada bulan Februari ini di TV Al-Hijrah menjadi satu anjakan dalam dunia pendidikan buat rakyat di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia merupakan satu sejarah kepada siaran televisyen berkenaan bahkan kepada perkembangan pendidikan Islam di negara ini.
"Ini juga satu anjakan dalam tadbir urus Hal Ehwal Islam di Malaysia. Saya mahu pastikan apa yang disiarkan nanti adalah yang terbaik untuk anak-anak kita dan seisi keluarga," ujar beliau melalaui Facebook rasminya, semalam.
Dr Zulkifli berkata rancangan berkenaan akan dimulakan dengan kelas al-Qur'an pada jam 4.30 petang dan siaran ulangan pada 6.30 petang dan 11.30 pagi keesokan harinya.
Menurut beliau, seluruh rakyat Malaysia boleh mengikuti rancangan tersebut mengikut jadual yang telah ditetapkan di TV Al-Hijrah bermula dengan kelas mengenali huruf hijaiyah khusus untuk pelajar tahun satu.
"Tahun 2 Surah An -Nas 2 Februari (Selasa),Tahun 3 Surah al-Baqarah ayat 1 sehingga 5 pada 3 Februari, Tahun 4 Surah Yusuf ayat 53-58 pada 4 Februari 2021 hari Khamis, (untuk) tahun 5 surah Al-mu'minun pada 5 Februari, Jumaat dan untuk Tahun 6 Surah Az-Zumur ayat 46-48 pada 6 Februari," ujarnya.
Terdahulu katanya, rancangan itu dicetuskan kerana mengambil maklum mengenai kerisauan ibu bapa di negara ini terhadap pembelajaran pendidikan KAFA anak-anak mereka.
Justeru katanya melalui kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dibawah tanggungjawab beliau selaku Menteri Agama mengambil insiatif bagi memperkenalkan slot pendidikan berkenaan pada setiap hari melalui rancangan TV tersebut.
"Pendidikan keagamaan dan nilai murni kepada anak-anak sentiasa menjadi keutamaan kami.
"TV Al-Hijrah di zaman saya adalah TV pendidikan, tarbiah, hiburan Islami dan ilmiah untuk seisi keluarga," ujarnya.