KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Kerajaan Terengganu terus mengekalkan peruntukan sedia ada dalam Seksyen 8 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2017, yang membenarkan perkahwinan pada had usia 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki untuk memastikan kesejahteraan keluarga yang dibina.
Namun, keputusan tersebut bukanlah halangan untuk pasangan berusia bawah umur itu berkahwin.
Menurut Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin, seramai 61 pasangan lelaki berusia bawah 18 tahun dan perempuan berusia bawah 16 tahun dibenarkan berkahwin di negeri Terengganu sejak 2016.
Jelasnya, perkahwinan melibatkan pasangan itu diberi kebenaran secara bertulis oleh hakim Syarie atas beberapa sebab.
"JHEAT hanya akan melakukan akad nikah pasangan lelaki berusia bawah 18 tahun dan perempuan berusia bawah 16 tahun setelah mendapat kebenaran dari hakim syarie.
"Seramai 17 pasangan diakad nikah pada 2016. Manakala 2017 (16), 2018 (18) dan seramai 18 pasangan pada 2019.
"Bagi tahun 2020 dan 2021 pula masing-masing seramai lima pasangan," katanya.
Difahamkan, terdapat 320 permohonan untuk berkahwin dikemukakan perempuan berusia bawah 16 tahun dan 284 permohonan dari lelaki berusia bawah 18 tahun bermula dari 2016 sehingga tahun lalu.
Bagaimanapun, hanya 61 pasangan diberikan kebenaran di bawah enakmen tersebut oleh mahkamah syariah.