Kaji Sebelum Laksana Beras Putih Madani

KUALA TERENGGANU, 22 Februari - "Kerajaan Persekutuan perlu mengkaji secara mendalam terlebih dahulu sebelum melaksanakan Beras Putih Malaysia Madani," ujar Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman.

Beliau berkata, sebelum ini sudah berlaku beberapa kes yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak diputuskan dengan baik. 

“Kita tahu kerajaan mungkin ada kumpulan yang berbincang tetapi apabila Presiden Persatuan Peruncitan Malaysia, bos Mydin kata sendiri beliau tidak dilibatkan sebagai orang pengimport beras, jadi beras tu jadi dilema.

"Sepatutnya kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa mereka mesti turun ke bawah pergi ke negeri-negeri dan buat pertemuan dengan Bernas supaya istilah di sini ‘jejak sungguh’ baru buat keputusan," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Walkabout Program Karnival Jualan Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) bertempat di Centre Atrium, KTCC Mall di sini baru-baru ini.

Tambah Ariffin, pihak kerajaan perlu membuat penguatkuasaan di negeri-negeri yang menghasilkan beras.

“Ini kerana masih ada penanaman padi di Jabi, Besut kalau di Terengganu walaupun tidak banyak tapi alhamdulillah di Kelantan, Kedah, Selangor dan beberapa negeri mereka banyak sebenarnya mengeluarkan tanam padi sendiri, hasil itu ada.

“Jadi soalannya di mana padi itu (beras) yang dihasilkan, jadi sepatutnya penguatkuasaan oleh pihak kerajaan memastikan beras tempatan itu kekal dengan harga murah atau sama dengan harga antara RM24 hingga RM26 dan tidak RM30," katanya.

Jelasnya lagi, bila dipantau oleh banyak pihak dan mereka tidak boleh jawab kalau betul RM30 dan dengan keputusan itu adakah boleh bertahan lama beras tu sebab pelbagai isu sebenarnya yang (berlaku).

“Kita juga rasa malang sekali, bila saya sebut sesetengah negara mereka bagi subsidi bukan RM30 sepatutnya RM10 sahaja untuk 10 kilogram atau RM20 bagi orang susah,” ujarnya.

Tambahnya lagi, perkara itu boleh dilakukan dengan mengenal pasti rakyat yang miskin menggunakan rekod di setiap negeri.

“Negeri kita sudah ada senarai kerajaan negeri dan pusat ada yang kita sebut eKasih. Orang yang ada eKasih, kerajaan buat satu kad untuk beli beras dengan harga RM30 ditolak RM20, kita boleh buat macam tu, benda tidak susah untuk dibuat sekarang ini.

“Sistem dia keluarkan kad pengenalan, kalau kad Touch N Go pun boleh buat apatah lagi kita meletakkan cip dalam cip, dia (rakyat) tunjuk kad pengenalan automatik boleh tolak RM20,” katanya.

Mengambil contoh luar negara, kata Ariffin yang juga Adun Alur Limbat, negara miskin mereka memberi subsidi melalui makanan ruji.

“Contohnya Mesir, roti tempayan dulu pernah (dijual) 5 sen kita orang luar beli pun 5 sen, sebiji yang RM3, tapi kalau beli di kedai harga RM1, jadi orang miskin boleh hidup orang kaya boleh hidup,” ujarnya.