Karnival Mung Belia Nelang Akan Diperluas Ke Setiap Daerah
Karnival 'Mung Belia Nelang' akan diperluaskan ke seluruh Terengganu bagi merealisasikan konsep Transformasi Nasional(TN 50) di peringkat akar umbi.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Dato' Rozi Mamat berkata program di bawah majlis belia itu terlebih dahulu akan dimulakan di Hulu Terengganu sebagai perintis.
"Saya rasa bersyukur kerana ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari golongan anak muda.
"Walaupun tidak secara keseluruhan, tapi mencukupi sebahagian besar daripada golongan anak muda di peringkat akar umbi memberi maklum balas yang amat bagus, cadangan dan sebagainya untuk kita realisasikan konsep TN 50 di peringkat daerah kita sendiri bukan sahaja di peringkat nasional,"kata Rozi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Karnival Mung Belia Nelang Dan Dialog TN50 di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu,Kuala Berang semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato’Tengku Putera Tengku Awang merangkap Adun Kuala Berang.
Menurut Rozi, program itu sebagai persediaan di daerah masing-masing terutama di Hulu Terengganu dalam konteks pembangunan, modal insan, ekonomi, agama selepas tahun 2020 nanti.
"Ini merupakan petanda yang baik, saya sangat berpuas hati respon daripada golongan belia pada malam ini walaupun ia sesuatu benda yang agak baru, mereka nampak teragak-agak, termasuk diri saya kerana kali pertama berdialog seperti ini.
"Malam ini saya nampak satu dimensi dan transformasi baru yang dapat di terima dengan cepat oleh anak anak muda kita walaupun tak pernah kita lakukan dan dibuat secara spontan, tapi mereka cepat mengikuti sesi dialog malam ini,"katanya lagi
Sementara itu,Pengerusi Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu Md Nasir Mat Ali berkata program ini adalah satu platform untuk anak muda terutamanya di daerah Hulu Terengganu untuk mereka meluah perasaan dan pendapat kepada pemimpin pemimpin tempatan.
"Apa yang kita nak,ada idea dan pandangan dari golongan belia untuk keperluan mereka dimasa akan datang,
"Melalui program ini,kita ada satu sasaran terutamanya untuk membuat mereka berani bersuara yang mana selama ini ada pihak yang tidak berani bersuara di hadapan wakil rakyat kerana adanya protokol,"kata Md Nasir.
Menurutnya,disebabkan adanya protokol ni kadang kala menjadi batasan bagi golongan muda ini untuk bercakap dengan pemimpin mereka.
"Sebab itu masalah tidak boleh diselesaikan..jika mereka berani meluahkan suara dan pendapat, Insya Allah hasrat golongan belia ini akan terus sampai kepada golongan pemimpin untuk dilaksanakan menjelang TN50,"ujarnya lagi