Kecewa ‘Gelagat’ Pengadil, KHM Disaran Guna Rujukan Video

Aksi pengadil (berbaju kuning) acap kali mengundang jeritan penyokong dalam perlawanan THT menentang UniKL semalam.
KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) disaran untuk segera mengaplikasikan penggunaan rujukan video (video referral) pada setiap perlawanan Liga Hoki Malaysia (LHM).

Jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT), Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berkata, kegagalan pengadil memberikan keputusan yang tepat sudah kerap kali menjejaskan rentak dan fokus anak-anak buahnya.

Justeru katanya, sudah tiba masanya untuk KHM menggunakan video rujukan, terutama apabila melibatkan aksi tumpuan saingan liga tempatan. 

“Apabila berlaku keputusan yang tidak tepat, tiada cara lain menentukannya selain disahkan daripada video rujukan sendiri.

“Perkara yang berlaku dalam perlawanan Sumbangsih lalu terus berulang, pengadil membuatkan pemain-pemain saya hilang fokus dalam situasi itu.

Dhaarma Raj.
“Pengadil tiba-tiba melayangkan kad hijau kepada pemain saya di saat kami sedang melakukan serangan. Saya belum pernah tengok pemain dapat kad hijau ketika membawa bola,” ujarnya ketika ditemui pemberita semalam.

Sebelum ini, bekas jurulatih pasukan Hoki Wanita Kebangsaan itu turut menyarankan kepada KHM untuk beralih kepada perakam video jika masalah kos menjadi penyebab teknologi 'video referral' tidak dapat digunakan.

“Ia sebagai kaedah jimat bagi merealisasikan penggunaan rujukan video dan ia sekali gus membawa kepada keputusan lebih tepat oleh pengadil terutamanya di dalam kawasan 23 meter,” ujarnya.

Malah, jika dibandingkan dengan kuasa besar hoki Eropah, kebanyakan negara terbabit sudah melaksanakan penggunaan rujukan video sepenuhnya untuk membolehkan pemainnya mengikut peredaran dunia hoki moden.

Kapten THT, Fitri Saari turut membantah beberapa keputusan 'tidak cermat' pengadil semasa perlawanan. 



Tag: