Kemerdekaan Itu Adalah Kesejahteraan



Oleh: Adli Mohamad

Dalam keghairahan menyambut hari kemerdekaan negara, orang ramai diingatkan agar
memahami erti kemerdekaan yang sebenar.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, Islam menuntut pada kemerdekaan dan hadirnya Islam adalah untuk memerdekakan manusia dan membawa kepada kesejahteraan.

“Walaupun tiada salah menyambutnya (hari kemerdekaan) tapi perlulah difahami akan makna kemerdekaan.

"Kemerdekaan yang sebenar ialah membawa pengertian kesejahteraan dari sudut akal dan pemikiran, serta mempunyai gaya hidup yang baik mengikut acuan ajaran Islam," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Khidmat DUN Bukit Besi.

Katanya, setiap orang menginginkan kesejahteraan dalam sebuah kehidupan, sebagaimana berhajatkan kehidupan yang sihat tanpa sakit.

Tambahnya lagi, pemikiran yang sihat akan menjadikan seseorang itu akan sentiasa berfikiran positif atas apa yang terjadi.

"Sebagai contoh, sebagaimana yang terjadi pada Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) yang dilanda ribut baru-baru ini, kita harus menerimanya dengan hati terbuka dan menyedari akan hakikat kebaikan disebaliknya yang kita tidak ketahui,” ujarnya.

Menurut beliau, apa yang terjadi semuanya mengandungi hikmah.

“Justeru itu, terimalah segala ketentuan dengan hati terbuka serta jiwa yang penuh merdeka, merdeka dari mempunyai fikiran negatif yang boleh melemahkan jiwa dan raga, agar pengakhiran nanti kita akan mencapai keredhaan Allah S.W.T ,"katanya.


Tag: