Kempen #Aid4Palestine Target Bantuan RM1 Juta Untuk Palestin

KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Kerajaan Malaysia menubuhkan sekretariat #Aid4Palestine bagi menyelaras bantuan kewangan untuk Palestin melalui kaedah ‘crowdfunding’ dan menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, perkembangan terkini yang berlaku di Palestin dengan serangan berterusan oleh regim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin adalah suatu tindakan zalim dan wajib dikecam.

"Justeru itu, kami telah mengadakan perbincangan khas pada petang 30 Ramadhan, melibatkan beberapa tokoh masyarakat dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), untuk mengambil tindakan proaktif dan segera bagi membantu perjuangan Palestin.

"Kami dengan penubuhan 'Sekretariat #Aid4Palestine' yang akan dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dengan kerjasama lebih 40 buah NGO yang akan bersama menggerakkan misi ini.

"Sekretariat ini turut akan berfungsi sebagai koordinator jaringan NGO dan masyarakat sivil bagi menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin," katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.

Menurut beliau yang juga Presiden PAS, hasil kutipan fasa pertama berjumlah RM350 ribu akan disalurkan pada 10 Syawal.

"Hasil kutipan terkumpul melalui NGO PAS Relief, Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia Society dan Cakna Palestin Malaysia.

"Manakala kutipan fasa kedua minima RM650 ribu akan dibuka sehingga 30 Syawal.

"Mudah-mudahan segala usaha yang dilakukan ini menjadi ganjaran dan pahala yang besar di sisi Allah sebagai tanda keimanan dan kasih sayang umat Islam kepada Palestin.

"Intifadhah di bumi Palestin adalah lambang kesatuan dan kebangkitan umat Islam seluruhnya melangkaui batas sempadan negara dan perbezaan mazhab, demi membela keadilan dan hak rakyat Palestin," jelasnya lagi.

Tambah Abdul Hadi, infak dan sumbangan setiap umat Islam bagi membantu perjuangan rakyat Palestin perlu diteruskan, sebagai tanda pengorbanan dan kasih kepada Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin yang dimuliakan oleh Allah.