• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Kenaikan Diesel, Dr Sam Ucap 'Good Luck' Kerajaan Persekutuan

KUALA TERENGGANU, 12 Jun - "Good luck," itu respon bersahaja Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar susulan kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 atau 56 peratus berbanding sebelumnya yang bakal meninggalkan kesan berangkai kepada rakyat.

Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ucapan itu dibuat kepada pentadbiran kerajaan persekutuan untuk menangani permasalahan yang timbul.

"Kesan berangkai daripada kenaikan mendadak itu, sedang kita lihat daripada beberapa pengumuman daripada penyedia perkhidmatan, pengeluar barangan dan lain-lain lagi.

"Ini cabaran yang sangat besar kepada sesebuah kerajaan terutama kerajaan pusat untuk menangani persoalan ini yang saya rasa tidak mudah untuk diselesaikan jadi saya ucap 'good luck' kepada pentadbiran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Program Conference Of Head Of Academic Departments 2024 (CHAD 2024) di Hotel Primula, di sini hari ini.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sebenarnya juga telah dirancang oleh barisan kerajaan terdahulu, Ahmad Samsuri berkata pada dasarnya ia dipersetujui tentang perkara tersebut.

"Namun, paling penting cara pelaksanaan, kaedah mana, cara untuk menangani bagaimana, perkara yang memerlukan cara yang cermat 'handle' perkara ini agak tidak membebankan rakyat.

"Perkara dasar, mungkin sama-sama buat keputusan tetapi yang menentukan berjaya atau tidak tu atau kesan yang terdapat tu dari segi pelaksanaan tu," ujarnya.