• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Kerajaan Digesa Wujud Jawatankuasa Selesai Isu Penyeludupan Diesel

KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Kerajaan disyorkan mewujudkan satu Jawatankuasa Kabinet rentas kementerian dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri bagi mencari penyelesaian kepada isu penyeludupan diesel.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ucapan Menteri Ekonomi yang mendakwa berleluasanya kegiatan penyeludupan diesel di kalangan nelayan di tengah laut adalah satu dakwaan serius.

"Menteri Ekonomi boleh membantu dengan mencadangkan formula penyelesaian berkesan," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, ia melibatkan soal integriti dan kemampuan agensi berkaitan yang bertanggungjawab menyusun mekanisma pengurusan dan kawal selia penyaluran minyak subsidi kepada nelayan. 

"Bukan itu saja, malah profesion sebagai nelayan yang menyabung nyawa di lautan bagi membekalkan makanan kepada negara telah dimomokkan dengan dakwaan begitu negatif," ujarnya.

Jelas beliau, Jabatan Perikanan menguruskan pemberian Lesen Nelayan manakala LKIM adalah pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam penyaluran minyak subsidi nelayan. 

"Polis Marin, APMM, Jabatan Laut, TLDM dan Jabatan Perikanan bertanggungjawab dalam penguatkuasaan undang-undang di laut berada di bawah beberapa Kementerian," katanya.