Kerajaan Dirayu Tambah Baik Pasar Payang, Tangani Keluhan Peniaga

KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dirayu agar melakukan penambahbaikan terhadap Kompleks Pasar Payang bagi menangani masalah peniaga.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ada beberapa perkara baru yang telah menjadi isu kebelakangan ini yang wajar diperhalusi antara negeri dan Persekutuan.

“Misalnya, ada beberapa bahagian di dalam pasar yang tidak dilalui oleh pengunjung yang datang, atas faktor ia terlalu tersorok dan terselindung daripada laluan utama.

“Sebenarnya ia seolah-olah tiada akses dari laluan utama dan tersorok di bahagian belakang, sebelum ini mengikut pelan asal, di bahagian itu sepatutnya ada eskalator, namun kerana mahu menjimatkan kos ia tidak dibina.

“Tetapi sekarang ia mendatangkan masalah dan aduan peniaga yang mengatakan pengunjung tak ramai datang ke kedai mereka disebabkan masalah tersebut,” jelasnya.  

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Madani 2025 semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ruang diperuntukkan untuk peniaga batik, iaitu di tingkat dua yang menghadap ke arah laut amat susah untuk menerima pelanggan.

“Ini menyebabkan keresahan dalam kalangan peniaga-peniaga batik atas kekurangan pelanggan yang membeli batik di kedai mereka,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Amzad turut mempersoalkan Kerajaan Persekutuan berhubung Pasar Borong Gong Pauh.

"Pasar ini merupakan sebuah pusat pengedaran barangan keperluan makanan yang utama di Terengganu.

"Kini, ia berada dalam keadaan yang daif. Soalan saya, adakah pihak KPKT berhasrat membantu meningkatkan kemudahan infrastruktur di pasar berkenaan?," soal beliau.


Tag: