Kerajaan Negeri Baiki Segera 96 Rumah Terjejas Ribut

MARANG, 19 Julai - Sebanyak 96 buah rumah yang dibadai ribut kelmarin mendapat perhatian dan pembelaan segera daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya akan memperhalusi segala kerugian dan kerosakan dialami mangsa bagi memudahkan proses penyaluran bantuan agar mereka yang terjejas dapat menduduki kembali kediaman itu dengan selesa.

"Bagi tindakan segera dalam masa sehari dua ini adalah untuk memastikan mereka boleh masuk dahulu, sebab itu urusan membaiki atap dan sebagainya telah kita selesaikan dan hari ini dijangka selesai bahagian membaik pulih bumbung yang rosak.

"Supaya kalau hujan tidak akan merosakkan barangan dalam rumah, yang lain daripada itu adalah untuk memastikan segala sisa-sisa kekotoran ini dapat dibersihkan secepat mungkin," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa mengadakan lawatan ke lokasi bencana ribut bertempat di Pantai Kekabu dan Kampung Seberang Marang, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut katanya, rumah terjejas akibat ribut mengalami kerosakan yang berbeza-beza justeru ia memerlukan kos dan bantuan berlainan.

"Kesemuanya telah kita uruskan dan kini dalam proses, kediaman yang paling teruk rosak akan ambil masa sedikit untuk dilakukan pembaikan oleh sukarelawan, segala kerja baik pulih ini secara gotong royong dengan bantuan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta penduduk tempatan.

"Insya-Allah kita akan bantu untuk memastikan mereka boleh masuk rumah terutama bagi rumah yang paling teruk terjejas dengan segera," ujarnya.

Sementara itu katanya, gerai para peniaga Pulau Kekabu tidak mengalami kerosakan yang teruk kerana kebanyakan mereka menghentikan operasi apabila melihat angin yang kuat.