Kerajaan Negeri Bantu Perhebat Golongan Usahawan

KUALA TERENGGANU, 6 Jun – Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Pusat Khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) sentiasa membantu dalam menyalurkan pelbagai bantuan kepada golongan Usahawan.

Ahli Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pelbagai skim bantuan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi membantu usahawan kecil di negeri ini supaya terus berkembang dan berjaya dalam perniagaan.

Katanya, selain bantuan turut diberikan penerangan serta pelbagai program seperti seminar, motivasi dan sebagainya untuk melahirkan seorang usahawan Terengganu yang berjaya.

"Usahawan perlu ada sifat ingin belajar dan mengambil iktibar daripada pengalaman jika ingin menjadi usahawan yang cemerlang.

“Tanpa ilmu maka segalanya akan terbantut contohnya jika berniaga makanan hendaklah belajar memasak.

“Jika kita yang menjual rasa tidak sedap, apatah lagi yang menjadi pelanggan maka kena perbaiki dari semasa ke semasa sehingga kena dengan selera pelanggan dan jangan kita syok sendiri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Bantuan Dana Putera di Permai Hotel Kuala Terengganu baru-baru ini.

Menurutnya lagi, usahawan juga perlu berfikir bersesuaian dengan peredaran zaman supaya dapat melaksanakan kehendak pelanggan dengan baik.

Beliau berharap agar segala bantuan yang diberikan dapat memberi manfaat kepada golongan usahawan supaya dapat membantu meningkatkan jualan serta pendapat mereka.

 

 

 

 

 


Tag: