Nelayan Merchang Terima Berita Gembira Selepas Puluhan Tahun

MARANG, 18 Disember - Setelah puluhan tahun bergelut dengan masalah laluan keluar masuk yang cetek, nelayan Terengganu khususnya di Merchang menerima khabar gembira.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, para nelayan kini sudah boleh menarik nafas lega apabila projek pengorekan dan pemecah ombak bakal siap.

"Projek ini sudah diusahakan selama dua tahun untuk kemudahan nelayan Merchang berulang alik ke lautan.

"Sejak puluhan tahun dulu nelayan di sini sudah menyuarakan rungutan mereka mengenai muara Merchang yang mengundang risiko dan menjejaskan rezeki mereka.

"Sudah banyak usaha dilakukan bagi menyelesaikan isu ini sehinggalah projek ini dimulakan pada 15 Disember 2021 dengan kos keseluruhan RM30.5 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas meninjau projek terbabit hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata projek itu kini sudah sampai ke kemuncak.

"Alhamdulillah, saya harapkan sinar 2025 ini akan memberi keselesaan kepada para nelayan Merchang," jelas beliau.

Sebelum ini, Menteri Alam Sekitar dan Air ketika itu, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagi menangani masalah mendapan muara sungai dan hakisan pantai, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan dua (2) projek pembangunan di Daerah Marang.

“Kerja-kerja pembinaan ini dijangka siap dalam tempoh dua (2) tahun melibatkan pengorekan alur navigasi bermula muara Sungai Merchang sehingga Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)," katanya.

Tambah Tuan Ibrahim, situasi semasa mendapan di muara Sungai Merchang serta hakisan di Pantai Marang menimbulkan masalah terhadap navigasi bot nelayan dan pelancong, banjir pantai, kerugian harta benda dan sebagainya.

"Mendapan muara sungai juga turut memberi kesan negatif kepada kualiti air, menjejaskan hidupan akuatik dan aktiviti akuakultur.

"Setelah projek ini siap sepenuhnya, ia akan memberi limpahan manfaat kepada para nelayan dan usahawan bot pelancong untuk keluar masuk ke laut dengan selamat serta dapat melindungi lebih 100 buah bot berdaftar daripada rosak akibat kecetekan muara dan pukulan ombak," ujarnya.


Tag: