Kerajaan Negeri Beri Perhatian Cadangan Perantau

Menteri Besar bersalaman dengan tetamu di Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Bersama Anak-Anak Terengganu Di Perantauan Sempena Aidilfitri 2018. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim

Semua cadangan dan sumbangan pemikiran anak-anak Terengganu di perantauan akan diberi perhatian oleh kerajaan negeri sebagai usaha memajukan negeri ini.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pertemuan Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Bersama Anak-Anak Terengganu Di Perantauan 2018, sempena Aidilfitri itu juga pendekatan terbaik kerajaan negeri untuk bermesra dan mendekati seluruh anak-anak Perantau.

Oleh itu, majlis tersebut katanya, adalah medan yang sesuai untuk mendapatkan pandangan dan cadangan dari rakan-rakan perantau.


“Pada masa yang sama, majlis ini menjadi tempat kepada kerajaan negeri menyampaikan hasrat dan misi kerajaan serta menjawab isu-isu semasa yang melibatkan pentadbiran dan politik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Bersama Anak-Anak Terengganu Di Perantauan 2018, sempena Aidilfitri 1439H, di Dewan Konvensyen Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu, semalam.


Turut hadir, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang, Exco-exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan Presiden Perantau Prof. Dr. Kamaruzaman Yusof serta lebih 3,000 perantau.

Oleh itu, beliau yang juga Pengarah Pilihanraya PAS Pusat itu berkata, tugas kerajaan yang dipilih untuk bangun mendepani masa mendatang dengan politik kasih sayang, politik matang dan sejahtera, yang diamalkan oleh parti itu.

“Ini merupakan anjakan pemikiran supaya rakyat tidak takut dengan perubahan, yang dilakukan dalam proses demokrasi negara kita.

“Kita bangun dengan poliitik yang lebih harmoni ke dalam masyarakat, bukan politik kebencian…(tetapi) politik yang menyelesaikan masalah,” tegasnya.

-Buletinonline

Tag: