Kerajaan Negeri Gembira Perantau Kritik, Sumbang Idea

SEBERANG PERAI, 12 Januari- Kerajaan negeri berbesar hati menerima kritikan dan pandangan daripada rakyat Terengganu yang berada di perantauan dalam usaha menambah baik pentadbiran negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan merangkap ADUN Wakaf Mempelam, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program pertemuan bersama anak-anak perantauan menjadi medan terbaik bagi mendapatkan sebarang idea kritikan dalam memantapkan lagi pengurusan khidmat dan bakti kerajaan negeri kepada rakyat.

Beliau turut melahirkan rasa gembira mendengar luahan daripada anak-anak Terengganu yang memberi pelbagai respon berkenaan pelaksanaan dasar-dasar di negeri Terengganu.

"Musuh utama kepada manusia adalah kejahilan, apabila manusia mendapat maklumat yang benar dan sahih, itulah yang menghapuskan semua kekeliruan dan salah faham dalam minda manusia.

"Inilah tujuan kita mengadakan jelajah ke seluruh pelusuk tanah air bertemu perantau.

"Kita ingin mendengar sebarang kritikan juga idea-idea baru yang boleh dikongsikan terus kepada kepimpinan kerajaan negeri tanpa pihak ketiga, sebab kita tahu anak-anak Terengganu di luar ini terdiri daripada pelbagai segmen dan kepakaran masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pertemuan bersama anak-anak Terengganu di perantauan anjuran Urus Setia Wanita Terengganu (USWA) dengan kerjasama PERANTAU, di sini semalam.

Hadir sama ialah ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan Timbalan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMITS), Hamidi Jusoh.

Tambah Wan Sukairi, kehadiran kepimpinan negeri dalam program tersebut memberikan satu 'signal' keprihatinan kerajaan negeri kepada rakyat di perantauan bagi menguatkan hubungan dua hala kedua-dua pihak.

Program pertemuan bersama anak-anak perantauan kali ini merupakan siri kedua dianjurkan bagi tahun 2025.

Siri kedua kali ini meliputi PERANTAU di wilayah utara merangkumi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Program selama tiga hari di tiga lokasi berasingan itu menghimpunkan sekitar 200 anak-anak Terengganu yang berkelana di luar, secara keseluruhannya.

 

 


Tag: