HULU TERENGGANU, 4 Mac- Kerajaan negeri akan menilai dan melaksanakan tindakan segera bagi memastikan jambatan menghubungkan Kampung Belukar Bukit dan Kampung Betong, Ajil yang terputus akibat banjir baru-baru ini, dapat dihubungkan pada kadar segera.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini pihaknya dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menghantar pasukan teknikal bagi menilai kerosakan dan struktur keseluruhan jambatan berkenaan.
"Pada penilaian awal, JKR lihat keadaannya baik. Tetapi, ada pasukan kedua pula daripada luar akan menilainya esok.
"Berdasarkan maklum balas awal, akan mengambil masa yang agak lama untuk selesaikan masalah ini.
"Jadi, kerajaan negeri akan cari jalan yang segera paling tidak pun sehingga sebelum betul-betul boleh buat itu ada laluan untuk motosikal lalu dahulu. Itu kontingensi yang segeralah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau runtuhan di jambatan terbabit, di sini hari ini.
Turut hadir, ADUN Ajil, Maliaman Kassim, ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat dan pegawai daerah Hulu Terengganu, Ahmad Azizi Zulkifli.
Tambahnya, runtuhan sepanjang kira-kira 30 meter itu dijangkakan memakan masa sehingga tiga bulan untuk baik pulih.
"Kalau tidak ada apa-apa masalah, maknanya tidak ada apa-apa keperluan barulah untuk jambatan yang sudah sedia ada ini.
"Cuma, JKR baru menghantar perincian dari segi apa yang perlu dibuat.
"Saya percaya di atas agensi sebegini kita boleh mencari syarikat-syarikat yang mampu untuk buat dengan kadar yang cepat, segera dan murahlah," katanya.
Menurut Dr. Samsuri, pihaknya sedang menunggu penilaian JKR, untuk menilai pilihan solusi yang lebih murah, lebih cepat dan lebih mudah.
"Jadi, tengoklah dalam masa sehari dua ini, kita akan buat keputusanlah dalam waktu terdekat," katanya.