Kerajaan Negeri Terus Pergiat Usaha Banteras 'Geng Plastik Hitam'

KUALA TERENGGANU, 7 Mac -Kerajaan negeri akan mempergiatkan usaha membanteras 'geng plastik hitam' melalui langkah mendidik termasuk tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang melakukan kesalahan tidak bermoral tersebut pada bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sewajarnya setiap rakyat memahami bahawa Ramadan adalah bulan mendidik untuk menjadi peribadi individu yang bertakwa.

Ujarnya, kerajaan negeri akan terus mengadakan usaha bagi menyedarkan masyarakat mengenai pentingnya amal ibadat  termasuk rukun Islam ketiga itu

"Apa yang penting sebenarnya menjadi orang yang bertakwa, takwa ini dalam diri masing-masing namun perlu dibina persekitarannya secara bersama yang merupakan tanggungjawab dalam diri, keluarga, masyarakat dan kerajaan.

'Apabila semua dalam berperanan dengan baik dan tahu bahagian masing-masing maka usaha bagi membentuk masyarakat yang bertakwa kepada Allah akan dapat dicapai," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, semasa Sidang Media Program Madinah Ramadan, di Masjid Tengku Zaharah, di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut, katanya sepanjang zaman akan ada orang yang akan melakukan kemungkaran dan melanggar perintah agama adalah menjadi tugas kerajaan bagi mengekang perkara tersebut agar dosa yang dilakukan tidak terus dinormalisasikan.

"Ini tanggungjawab kerajaan, jadi selagimana ia tidak dinormalkan selagi itu akan ada langkah-langkah bagi mendidik dan mencegah," ujarnya.

 


Tag: