Kerajaan Negeri Turut Beri Perhatian Isu Pemilikan Rumah Generasi Kedua Felda
Oleh: Adli Mohamad
Kuala Terengganu, 12 November- Kerajaan negeri turut memberikan perhatian kepada soal pemilikan rumah dalam kalangan generasi kedua Felda selain golongan yang memerlukan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak berkata, memastikan rakyat memiliki kediaman adalah diantara hasrat kerajaan negeri yang dijanjikan melalui manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.
Katanya, kerajaan negeri turut serius menangani masalah rumah yang dihadapi oleh warga Felda terutamanya generasi kedua dan telah mengambil tindakan tertentu termasuk membuat pemerhatian dan penyelidikan.
"Didapati lot-lot tanah sekitar Felda ada tanah yang kosong untuk diangkat jadi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB).
"Orang luar mungkin tidak berminat sangat untuk memilikinya, maka peluang terbuka kepada generasi kedua Felda," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat NGO Generasi di Wisma Darul Iman, semalam.
Menyentuh mengenai Generasi beliau berharap agar Generasi yang dipengerusikan oleh Pegawai Kanan Khas, Penyelidikan Tanah Persekutuan, Naraza Muda mampu menjadi perunding, dan menjadi jambatan yang menghubungkan kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri agar permasalahan yang dihadapi generasi kedua Felda dapat diselesaikan.
"Dengan Felda (kerajaan persekutuan) kita kena berkawan dan perlu berunding.
"Kerajaan Malaysia (persekutuan) nak buat (berhasrat) juga buat rumah kepada rakyat, maka kita (kerajaan negeri) akan usaha bagi memastikan tidak terlepas pandang," ujarnya.
Menurut beliau, NGO Generasi perlu memberi perhatian sewajarnya agar nasib generasi kedua Felda akan terus terbela.