KUALA TERENGGANU, 14 November – Kerajaan Negeri terus memperkukuh usaha meningkatkan kefahaman rakyat terhadap pelaksanaan Syariah Islamiah di negeri ini dengan pendekatan yang lebih segar dan dekat dengan masyarakat, khususnya golongan muda.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, selain program tradisional seperti dialog syariah, street dakwah dan outreach dakwah, kerajaan kini turut memberi tumpuan kepada pendekatan kreatif yang melibatkan penggunaan media sosial dan kolaborasi bersama pempengaruh tempatan.
“Kita melihat kepentingan untuk mendekati anak muda melalui medium yang mereka dekat, iaitu media sosial. Pelbagai program telah dianjurkan bagi menggalakkan penglibatan pempengaruh dalam menyebar kefahaman Syariah, termasuk usrah yang dianjurkan oleh UPDI bersama Da’i Sejuta Ummah Ustaz Azhar Idrus,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukan oleh ADUN Rantau Abang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke -15 2025 Bajet 2026 di DUN Terengganu, hari ini.

Selain itu, kerajaan turut menganjurkan Bengkel Jawatankuasa Penyelarasan Undang-Undang Syariah secara berkala bagi memperkukuh dan memurnikan enakmen syariah sedia ada untuk diperkasakan semula dalam pelaksanaannya melalui pentadbiran kerajaan.
Justeru itu, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan Syariah di Terengganu bukan sekadar soal penguatkuasaan, tetapi juga penerapan kefahaman dan kesedaran melalui pendidikan, dakwah dan pendekatan kasih sayang.
