Terengganu Cadang Wujud Santuari Atasi Masalah Gajah Liar Pantai Timur
SETIU, 25 Julai - Kerajaan Terengganu berjaya menokhtahkan penantian penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi yang menunggu puluhan tahun untuk memiliki tanah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, isu berkenaan tiada kesudahan di era pentadbiran lalu dan seolah-olah ia hanya dijadikan modal politik.
Malah katanya, ada rakyat yang menerima ketika zaman PAS memerintah dinafikan hak atau tanah mereka ditarik balik.
"Sebagai contoh apabila kita mula menjadi kerajaan 2018, Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Bukit Tasek di Jabi yang telah dibuat (dibuka) di zaman Barisan Nasional sejak sekian lama sehingga berganti tiga wakil rakyat sebelum ini masih tidak selesai dan ada 170 kekosongan.
"Kenapa tidak diisi dalam tempoh yang begitu lama (ketika mentadbir), bermakna setiap kali pilihan raya mereka keluarkan borang (untuk tanah), sebaik habis pilihan raya senyap begitu sahaja.
"PAS bukan begitu, kalau boleh hendak selesaikan seberapa segera yang mungkin, sebagai contoh RTB untuk tapak tanah rumah Felda Selasih yang dianggap mustahil, kita berjaya selesaikan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Majlis Agihan Geran Hak Milik RTB DUN Jabi, di Dewan Sivik Jabi, di sini, semalam.
Mengulas mengenai majlis agihan tanah itu, Dr Azman berkata, sebagai penutup tirai untuk siri terakhir bagi penggal ini, geran hak milik tanah telah berjaya diagihkan lagi kepada 83 penerima membabitkan RTB Felda Selasih, RTB Anak Ikan, RTB Pasir Tawar, RTB Belimbing Api dan RTB Bukit Tasek bagi tapak rumah dan pertanian.
"Kita tidak berdiam diri sepanjang tempoh lima tahun ini bagi memastikan rakyat kembali menerima hak mereka, kita lakukan kerja mengikut aturan dan lunas-lunas yang ada dalam peraturan tanah.
"Selama ini Pejabat DUN Jabi mengambil sikap sama-sama bekerjasama dengan Pejabat Tanah Daerah Besut kerana ada keterbatasan dihadapi mereka kekurangan kakitangan, saya juga membantu menyewa alat ukur tanah dan sebagainya supaya boleh diagihkan segera untuk rakyat majukannya.
"Apa yang utama ialah kita hendak agihan ini dapat dilakukan secepat mungkin dan rakyat kita mendapat manfaat dan boleh majukan tanah dengan seberapa segera dan akhirnya rakyat kita menuai hasil," katanya.
Ujar Dr Azman lagi, untuk penggal seterusnya kerajaan komited untuk meneruskan kesinambungan bagi menyelesaikan segala urusan berkait tanah.
"Matlamat kita isu pokok rakyat, sebagaimana isu tanah ini kita akan 'all out' kita cuba buat yang terbaik untuk menyelesaikannya hasilanya hari ini kita dapat lihat wajah-wajah ceria penerima geran yang ada antaranya menunggu sejak puluhan tahun yang lalu," ujarnya.