Kerjasama Mantap, ECRL di Terengganu Kini Fasa Tiga

KUALA LUMPUR, 21 Julai - Komitmen serta kerjasama kukuh daripada kerajaan negeri Terengganu telah membolehkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri Terengganu mencapai kemajuan yang sangat memberangsangkan sekali gus membolehkan fasa ketiga bermula.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Datuk Seri Darwish Abdul Razak berkata, projek di Terengganu pada Jun telah pun mencapai kemajuan sehingga 84.43 peratus.

Manakala kemajuan keseluruhan katanya, mencapai 68.68 peratus dengan kerja 'tracklayer' telah pun berjalan sejak Disember 2023.

"Bermula dari Pelabuhan Kuantan, Gebeng bergerak ke Dungun siap sepenuhnya begitu juga dengan jajaran dari Pelabuhan Kuantan ke Maran juga telah siap.

"Kini yang terbaru kita telah mula masuk ke fasa yang ketiga, kita telah memulakan kerja-kerja 'tracklayer' bermula dari Dungun ke Kota Bharu sejauh 205 KM dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2025," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima kunjungan delegasi Kerajaan Negeri Terengganu yang mengadakan kunjungan muhibbah dan perbincangan mengenai peluang pekerjaan dalam sektor railway baru-baru ini.

Delegasi Kerajaan terengganu itu diketuai oleh, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman.

Turut hadir, Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), Aminuddin Omar serta wakil-wakil Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari Terengganu.

Dalam pada itu, Darwish berkata ECRL berkenaan dijangka akan dapat disiapkan akhir Disember 2026 dan akan memulakan operasinya pada awal 2027.