Haji Ahmad Amzad (kanan) membuat kenyataan akhbar di Ibu Pejabat APMM di Kuala Terengganu hari ini. |
KUALA TERENGGANU, 28 April - Kerajaan Persekutuan diminta menggerakkan aset untuk mengawal perairan Malaysia secara lebih agresif kerana ada laporan mengatakan bahawa pekerja-pekerja pelantar minyak di perairan Terengganu terancam keselamatan mereka dengan kehadiran begitu banyak bot nelayan Vietnam.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim berkata beliau ada menerima laporan bahawa pekerja di pelantar minyak dan nelayan tempatan bimbang keselamatan mereka tidak terjamin dengan kehadiran bot nelayan asing tersebut.
Katanya, nelayan Vietnam itu bukan sahaja mengaut hasil khazanah laut negara secara berleluasa tetapi mereka juga boleh mengancam nyawa rakyat tempatan kerana dipercayai nelayan asing itu ada di kalangan mereka yang bersenjata.
Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita di sidang media di Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli.
Haji Ahmad Amzad berkata, Terengganu kehilangan hasil perikanan sehingga RM6 bilion setahun akibat dari pencerobohan nelayan asing tersebut.
"Ini bukan jumlah yang kecil tetapi masalah yang lebih besar adalah ancaman keselamatan terhadap lebih 100 buah pelantar minyak termasuk 53 buah pelantar yang besar di perairan Terengganu.
"Pelantar cari gali minyak ini adalah kepentingan ekonomi yang utama negara . Jadi, saya tak faham, apabila kita dalam perusahaan di mana 'cash cow' (pendapatan tunai) negara berada di situ, kita perlu jaga sungguh-sungguh, jangan diganggu dan jangan ada risiko keselamatan," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, kerajaan persekutuan tidak nampak kesungguhannya untuk mengawal pusat penghasilan sumber kewangan negara itu dengan lebih ketat memandangkan begitu banyak bot nelayan asing berada di sekitar pelantar minyak tersebut.
Katanya, di sekitar pelantar cari gali minyak itu juga adalah tempat yang kaya dengan sumber perikanan dan menjadi sasaran pencerobohan nelayan asing.
"Barang kali saya boleh beritahu secara terus di sini bahawa saya menerima aduan berterusan daripada nelayan dan juga pekerja di pelantar minyak bahawa keselamatan mereka terancam kerana mereka di kelilingi oleh bot-bot nelayan asing yang kadang kala membawa senjata berbahaya.
Beliau menasihatkan kerajaan pusat agar tidak terlalu loket untuk berbelanja bagi membolehkan agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan, melaksanakan kerja-kerja pengawasan perairan negara dengan lebih berkesan.
"Kerajaan perlu melaksanakan tugas dengan sebaiknya sama ada di dalam bentuk penyediaan kapal-kapal peronda, bot-bot laju pemintas dan sebagainya yang mencukupi supaya tugas operasi dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
"Begitu juga berkait dengan kemudahan lojistik yang lain, tempat di mana bot-bot yang ditangkap itu perlu mempunyai tempat letaknya yang khusus," jelasnya.
Difahamkan lebih 700 buah bot nelayan asing telah ditahan dan lebih separuh dari jumlah itu telah dilupuskan, selepas selesai segala proses mahkamah.
"Jadi sementara menunggu proses mahkamah selesai. di mana bot-bot berkenaan mahu di tempatkan.
"Seperti di Kuala Terengganu kita susun kapal di jeti APMM, enam buah bot lagi ditambah dan bot-bot berkenaan semakin bertambah sementara jeti yang sedia ada, tidak boleh menampung keperluan untuk menyimpan bot-bot berkenaan dalam jangka masa panjang," jelasnya.
Menurut beliau laluan kapal ke jeti Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan sebagainya yang berhampiran jeti tersebut akan terhalang.
Beliau difahamkan, setiap hari di limbungan perkapalan di Vietnam, dikeluarkan bot-bot baru perikanan laut dalam.
"Setiap hari bot-bot inilah yang pergi merantau jauh masuk perairan negara-negara sekitar termasuk Filipina, Indonesia dan Malaysia," ujarnya lagi.
Katanya, permasalahan tersebut perlu dibawa kepada konsensus antarabangsa yang melibatkan peranan Kementerian Luar Malaysia sama ada memberikan bantahan atau menjadikan agenda penting dalam mesyuarat menteri-menteri luar supaya perkara itu mendapat perhatian.