Ketengah Sedia Peruntukan 580 Ribu Untuk Program Bantuan Rumah
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyediakan peruntukan sebanyak RM580,000 bagi Program Bantuan Rumah (PBR)di Ajil.
Pengurus Bahagian Kesejahteraan Rakyat Ketengah, Asnawi Mohd Amin berkata peruntukan itu melibatkan lapan rumah bina baru dengan peruntukan RM320,000 dan 16 rumah di baik pulih (RM176,000).
"Program hari ini adalah hasil dari peruntukan dari tahun sebelum ini yang mana projek bermula pada Ogos tahun lalu dan siap sepenuhnya untuk didiami pada tahun ini.
"Matlamat program kami adalah untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar mendiami rumah yang lebih selamat dan selesa berbanding kediaman terdahulu,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan PBR Wilayah Ketengah di Kampung Pela,Ajil,Hulu Terengganu, hari ini.
Menurut Asnawi,kos bina bagi setiap satu unit rumah bina baru adalah sebanyak RM40,000 dan bagi rumah baik pulih adalah sebanyak RM11,000.
"Bagi bantuan 2017,pihak Ketengah sedang menilai serta memperhalusi peemohonan melalui e-kasih dan bagi mereka yang layak tapi belum mendaftar dengan e-kasih. Diharapkan mereka dapat daftar segera untuk kami ambil tindakan,"ujarnya.
Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi,Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri,Ghazali Taib merangkap Adun Ajil.
Seramai lapan orang penerima yang terdiri daripada golongan miskin dan berdaftar dengan e-kasih di DUN Ajil menerima kunci rumah mereka pada hari ini.
Sementara itu,Ghazali berkata sepanjang 2010 hingga 2016 sebanyak 43 buah rumah bina baru dan 137 buah rumah baik pulih telah disumbangkan oleh Ketengah kepada golongan miskin yang terpilih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil.
"Ini merupakan satu angka yang cukup besar kepada kami di sini kerana berjaya membantu golongan miskin mendapat kediaman yang lebih selesa.
"Sebagai wakil rakyat,saya mengucapkan terima kasih kepada Ketengah yang merupakan salah satu agensi kerajaan kerana dapat membantu menyelesaikan banyak masalah berkaitan keperluan rumah di DUN Ajil dan jika ada pertambahan peruntukan untuk tahun ni,saya alu-alukan demi kepentingan bersama,"kata Ghazali.
Sementara itu,kegembiraan jelas terpancar pada wajah seorang lelaki yang bergelar ketua keluarga,Mohamad Napiah Harun,42,daripada Kampung Pela,Ajil apabila hasrat untuk mendiami rumah yang lebih sempurna pada kali ini telah terlaksana.
Mohamad Napiah ketika di temui berkata, dia tidak mampu untuk membina rumah sendiri kerana hanya bekerja sendiri dengan pendapatan kurang dari RM1,000 sebulan.
"Sebelum ni,saya hanya menumpang rumah ibu saya kerana tidak mampu...bila pihak Ketengah menawarkan PBR,terus saya menerimanya kerana ini adalah impian saya untuk punyai rumah sendiri bersama isteri dan anak-anak,
"Hanya ucapan terima kasih yang mampu saya berikan kepada pengurusan Ketengah kerana memberi rumah baharu untuk kami sekeluarga," katanya.