KKLW Diharap Luluskan Bina Tadika Kemas Baru Di Lubok Periuk
YB Ghazali Taib Mendengar Penerangan Daripada Pengerusi J3K Yahaya Abdullah Tentang Masalah Tadika Kemas Di Kampung Lubok Periuk |
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) diharap dapat menimbangkan permohonan bagi pembinaan bangunan baru tadika Kemas di Kampung Lubok Periuk, Ajil bagi kegunaan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Ghazali Taib berkata, beliau berharap menterinya Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob dapat menilai permohonan ini sewajarnya demi manfaat anak-anak di kawasan tersebut.
Katanya, keperluan bangunan baru untuk tadika Kemas sangat wajar kerana sentiasa ditenggelami air dan bangunannya sudah berusia lebih 30 tahun.
Jelasnya lagi, setiap tahun apabila musim banjir, bangunan itu akan ditenggelami air dan mengalami banyak kerugian atas kerosakan yang berlaku.
"Kalau dulu permohonan ditolak oleh pihak Kemas negeri dengan alasan tidak boleh membuat bangunan kerana tiada tapak hak milik Kemas.
"Sekarang kita telah meluluskan tanah untuk Kemas membina sebuah bangunan dan saya telah mengajukan permohonan ini beserta dengan lampiran permohonan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselematan Kampung (J3K).
"Apa yang amat mendukacitakan jawapan yang diterima adalah tidak diluluskan. Cuba bayangkanlah setiap tahun ia tenggelam dan sebenarnya tidak ada alasan untuk menolak permohonan kami,"kata Ghazali.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Dialog di Kampung Lubok Periuk, Ajil, semalam.
Pengerusi J3K Lubok Periuk, Yahaya Abdullah, 56,berkata tadika ini menampung 25 orang kanak-kanak yang berusia empat hingga enam tahun, dari dua kampung iaitu Kampung Peneh dan Kampung Lubuk Periuk.
Menurut Yahaya, setiap kali musim tengkujuh tadika berkenaan akan ditenggelami air banjir dan menyebabkan peti sejuk, tikar, peralatan mengajar rosak sehingga pihaknya menanggung kos yang lebih tinggi membaik pulih dan membeli baru peralatan.
"Kami sudah buat permohonan beberapa kali dan masih juga belum mendapat maklum balas yang baik dari pihak yang sepatutnya.
"Yang terbaru kami sudah membuat permohonan kepada KKLW pada minggu lepas dan amat malang kerana jawapan yang diterima adalah tidak mempunyai peruntukan untuk membuat bangunan.
"Pada mulanya bila pertama kali buat permohonan,alasan yang diberikan adalah tapak tadika sekarang bukanlah milik tadika, akhirnya kami membuat permohonan untuk mendapat tapak..setelah mendapat kelulusan tapak, kami terus membuat permohonan.. dan tetap ditolak dengan alasan tidak mempunyai peruntukan," katanya lagi.
Yahaya berkata, beliau cuma memohon RM200,000 untuk bangunan yang lebih selesa bagi kanak kanak belajar dan bangunan yang tidak ditenggelami air lagi sekiranya berlaku banjir.
"Ia bukan jumlah yang banyak bagi kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat, kalau hendak kira jalan raya yang dibuat berlapis-lapis lagi mahal peruntukan.
"Saya harap mereka(Kementerian) mampu lihat masalah di peringkat kampung ini supaya dapat diselesaikan dengan segera kerana bukan perkara yang baharu..kami sudah membuat permohonan dalam tempoh lapan tahun kebelakangan ini.Kami berharap benda ini tidak berlarutan sampai ke pilihan raya..benda ini adalah imej kerajaan,"katanya.