Komik Dan Buku Lama Jadi Buruan

DUNGUN, 8 Disember- Komik atau buku lama berpotensi untuk menjadi sumber pendapatan tambahan kepada pemiliknya kerana ianya mula menjadi buruan akhir-akhir ini.

Pengumpul komik dan buku lama, Mohd Sallehuddin Ismail, 35, berkata komik dari Jepun dan Hong kong yang diterjemahkan dalam Bahasa Melayu dipasarkan sekitar hujung 80-an sehingga awal tahun 2000 begitu menjadi buruan.

"Harga sesebuah buku lama dan komik lama bergantung kepada kemasyuran penulis dan pelukisnya seperti buku karya sasterawan negara seperti Abdullah Hussein, Azizi Abdullah, Zaharah Nawawi sebagai contoh.

"Untuk komik-komik dari Negara Hong Kong dan Jepun pula seperti Tony Wong, Wan Yat Leung, Akira Toriyama dimana nilai buku lama boleh mencecah ribuan ringgit dan komik lama pula boleh mencecah ratusan ringgit bagi sebiji buku. Tiada harga tetap namun nilainya pasti akan diketahui oleh mereka yang minta mengumpul buku-buku lama ini, hanya 'jauhari yang mengenal manikam'," ujarnya.

Salleh berkata demikian ketika dihubungi pihak media, di sini, semalam.

Katanya, nilainya mungkin tidak terlalu tinggi sepertimana barang antik yang lain tetapi jauh lebih baik daripada ianya dilupuskan begitu sahaja atau dikitar semula.

"Kita perlu mendidik masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya melupuskan buku-buku lama termasuk komik hanya kerana tidak memerlukannya lagi.

"Malah ada yang bertindak membakar komik-komik lama kerana ada kerosakan padanya walhal ada yang menawarkan khidmat membaik pulih buku-buku lama,"ujarnya.

Koleksi buku dan komik berkenaan katanya boleh dijual kepada orang persendirian atau syarikat.

"Tapi lebih baik dijual kepada individu yang tahu dan minat dengan koleksi buku atau komik lama ini, kerana mudah untuk tawar menawar. Malah kepada yang baru menjadikannya hobi, atau kembali mengumpul boleh tukar menukar sesama mereka bagi melengkapkan judul yang diinginkan," ujarnya lagi.

Salleh berharap agar masyarakat peka dengan perkara berkenaan.

"Kerana mungkin masih ada simpanan didalam rumah yang terbiar begitu sahaja lebih baik ianya dijual boleh menampung sedikit sebanyak keperluan terutama kepada mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 yang melanda dunia hari ini.

"Jika ingin menjual di media sosial atau laman sesawang pastikan tidak tertipu.

"Ramai yang mengambil kesempatan menipu pembeli-pembeli dan penjual buku dan komik yang dikesan berleluasa. Jadi berhati-hati ketika melakukan apa-apa transaksi. Sebaiknya bertanyalah kepada mereka yang lebih tahu dan arif mengenai hobi ini," ujarnya.


Tag: