KOPERAT Baik Pulih Rumah Ibu Tunggal

KEMAMAN, 17 Februari - Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. (KOPERAT) melunaskan tanggungjawab sosialnya dengan membaikpulih sebuah rumah ibu tunggal di Kampung Panchur, Telok Kalong, Kijal.

Pengerusi Lembaga Pengarah KOPERAT Hishamuddin Abdul Karim berkata program sedemikian merupakan salah satu dari aktiviti 'Corporate Social Responsibility' (CSR) syarikatnya bagi membantu mereka yang memerlukan.

"Alhamdulillah dengan peruntukan sebanyak RM20 ribu rumah ini berjaya disiapkan dengan sempurnanya bagi memberi sedikit keselesaan kepada Puan Noremah sekeluarga.

Noremah A. Rahman

"Ribuan terima kasih kepada pihak Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Telok Kalong diatas kerjasama yang diberikan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh berkata demikian selepas majlis ringkas gimik penyerahan rumah yang dibaiki kepada penerimanya di sini kelmarin.

Sementara itu, penerima bantuan Noremah A. Rahman, 49, kelihatan sebak kerana terharu diatas apa yang diterimanya ketika cuba ditemubual oleh pemberita dan sempat mengucapkan terima kasih diatas bantuan yang dihulurkan kepada beliau dan keluarganya.

"Terima kasih kerana sudi membantu kami sekeluarga dan kami tak mampu membalas jasa pihak yang terlibat," ucapnya.

Rumah Noremah yang agak uzur sebelum ini akibat dimakan anai-anai kini kelihatan ceria setelah disenaraikan oleh JPKK sebagai penerima bantuan oleh CSR KOPERAT.

Kakitangan KOPERAT bergambar sebagai kenangan.

Turut hadir Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh, Pengarah KOPERAT, Abd Razak Mohamad, Pengurus Besar KOPERAT, Sayed Abdul Rahman Engku Sulong, Pengurus Operasi & Pembinaan KOPERAT, Fadilah Mamat beserta pegawainya dan Pengerusi JPKK setempat Mohd Zuki Abd. Ghani.