Korea Selatan Minat Melabur Dalam Sumber Asli Terengganu

KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Korea Selatan berhasrat untuk mengeratkan lagi kerjasama dengan Terengganu dalam industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), hidrogen, dan ruang rantaian bekalan.

Duta Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung-bae berkata, pengiktirafan kerajaan Persekutuan terhadap Terengganu sebagai antara empat negeri utama dalam bidang CCUS serta pengetahuan Korea Selatan dalam sektor itu dilihat mampu memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Terengganu mempunyai sumber asli yang banyak seperti gas dan minyak. Ia mempunyai ruang untuk menyimpan karbon dioksida, seperti telaga minyak bawah tanah dan kemudahan terminal yang tidak beroperasi.

“Korea Selatan, dengan kepakaran teknologi bertaraf dunia dan pengetahuan dalam CCUS, mampu menjadi rakan kongsi dalam usaha Terengganu untuk menjadi pemain ekonomi utama dalam sektor ini,” katanya menurut laporan berita bernama semalam.

Seung-bae dan delegasinya ke Terengganu adalah untuk menghadiri Forum Perniagaan Korea-Terengganu dan Festival K-Cultural.

Beliau turut menekankan bahawa syarikat Korea Selatan memiliki teknologi terbaik dalam sektor hidrogen dan terdapat permintaan yang besar untuk hidrogen bersih.

“Memandangkan kekuatan institusi Korea Selatan dalam bidang hidrogen dan dasar Terengganu, hidrogen dijangka menjadi satu lagi bidang kerjasama antara mereka.

“Terengganu juga kaya dengan sumber mineral termasuk unsur nadir bumi. Syarikat Korea Selatan mula membeli sumber mineral seperti silika dari Terengganu, yang merupakan bahan penting untuk pembuatan kaca

“Saya telah mencadangkan beberapa idea kepada kerajaan negeri seperti program perkongsian ilmu dan projek perundingan awal untuk pensijilan hidrogen bersih. Program-program ini boleh disokong sepenuhnya oleh kerajaan Korea Selatan,” jelasnya.

Seung-bae turut menyatakan bahawa beliau sedang berusaha untuk memudahkan kemasukan lebih banyak syarikat dari Korea Selatan ke Terengganu untuk menyertai syarikat sedia ada seperti LX International, CJ Chemical, dan Polaris.

Beliau juga menekankan minat Korea Selatan dalam pembangunan sumber manusia di Terengganu, yang merupakan salah satu elemen penting untuk pembangunan ekonomi dan bakal memberi impak kepada generasi masa depan negeri itu.

“Tahun lepas, 10 guru dari Korea Selatan dihantar ke lima sekolah di Terengganu selama tiga bulan untuk mengajar subjek kecerdasan buatan, maklumat, komunikasi, teknologi, dan mekanik. Bulan depan (Ogos 2024), sembilan guru lagi akan mengajar di empat sekolah di sini.

“Oleh itu, Kedutaan Korea Selatan akan terus menggiatkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, dan kebudayaan dengan Terengganu,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: