KTS Bakal Jadi Hospital Rakan Bayi Pertama Di Terengganu
Oleh: Adli Mohamad
KUALA TERENGGANU, 10 September- Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS) sedang dalam proses mendapatkan pengiktirafan sebagai hospital rakan bayi yang pertama di Terengganu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd, Mat Yula Kassim berkata, sehingga kini KTS telah menghantar 1/3 daripada kakitangannya untuk mengikuti kursus selama 20 jam yang dikendali Pusat Laktasi Kebangsaan.
"Tujuannya untuk mereka mempelajari teknik-teknik penyusuan, polisi-polisi serta cara untuk menyebarkan pengetahuan tentang penyusuan susu ibu bagi mempersiapkan hospital kami untuk menjadi Hospital Swasta Rakan Bayi Pertama di negeri ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang diadakan di hospital berkenaan, baru-baru ini.
Bertemakan Caknakan Ibu Bapa, Jayakan Penyusuan, sambutan berkenaan telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Zalma Abdul Razak.
“Ianya menekankan tentang kepentingan usaha pelbagai pihak dalam mewujudkan rantaian sokongan bagi menyediakan persekitaran yang dapat memperkasakan ibu untuk menyusu anak secara optima.
“Selain dari ruang pameran dan ceramah terdapat banyak aktiviti-aktiviti lain yang turut diadakan sejak 3 September lalu untuk memeriahkan acara antaranya kuiz dan demonstrasi perahan susu ibu,” ujarnya.
Katanya, usaha menjadikan KTS sebagai hospital rakan bayi adalah penting untuk rakyat Terengganu umumnya.
“Dengan menyediakan fasiliti yang menggalakkan penyusuan ibu terus kepada bayi, secara tidak langsung memastikan bayi-bayi yang dilahirkan mendapat zat-zat dan nutrisi sempurna yang dapat menyumbang kepada tumbesaran bayi,” ujarnya.