Layar Merdeka dibanjir lebih 500 pengunjung

Orang ramai berpusu-pusu hadir meraikan Sambutan Hari Kemerdekaan.
KEMAMAN - Lebih 500 pengunjung membanjiri Program Layar Merdeka sempena sambutan ambang kemerdekaan buat julung kalinya diadakan di tapak riadah Kemaman Waterfront anjuran Pertubuhan Amal Prihatin Insan Malaysia (PAPIM) dan Komuniti Chukai Waterfront Kemaman (KCWK).

Pengerusi PAPIM, Dato’ Aliff Muhidan berkata, pihaknya berkolaborasi bersama KCWK untuk menarik minat orang ramai dan juga pelancong ke Kemaman dengan mengetengahkan lokasi rekreasi menarik.

“Kemaman Waterfront yang terletak di kawasan Jambatan Geliga perlu dipromosikan secara lebih meluas kerana bukan sahaja panoramanya indah kerana bersebelahan sungai dan bukit bahkan terdapat ramai peniaga yang mencari rezeki di kawasan itu.

"Lokasi ini cukup terkenal dalam kalangan orang tempatan dan kita mahu lokasi ini turut menjadi tumpuan pelancong kerana ia akan menjadikan tempat ini lebih membangun lagi pada masa akan datang.

"Kita juga sangat bangga kerana sambutan ambang merdeka yang dianjurkan mendapat sambutan luar biasa dan ramai pengunjung datang dan bersama-sama menunggu detik 12 tengah malam," katanya.

Turut hadir dalam program itu adalah wakil Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat.

Sementara itu, Pengerusi KCWK, Mohamad Fazli Mohd Nor@Mohd Toni berkata, tapak itu akan menjadi salah satu tapak utama untuk pelancong pada masa akan datang kerana keduduknya yang strategik dan keindahannya.

"Ini juga menjadi niat dan hasrat saya yang lama membangunkan tempat ini bersama ahli jawatankuasa (AJK) saya yang lain.

“Sempena Program Layar Merdeka itu, pelbagai aktiviti dijalankan. Antaranya wayang pacak, laungan kemerdekaan, lagu merdeka, cabutan bertuah,” katanya.




Tag: