KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Polis akan menempatkan seramai 351 orang pegawai dan anggota bagi menjaga serta mengawal ketenteraman awam dan keselamatan perlawanan separuh akhir Piala FA antara Terengganu FC (TFC) dengan Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Jumaat ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, ia bagi memastikan perlawanan tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden kekecohan berlaku.
Justeru itu katanya, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan agar mematuhi sepenuhnya garis panduan dan S.O.P (standard operating procedure) terhadap kawalan keselamatan di stadium sepertimana yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan akan dilakukan oleh petugas sebelum pintu masuk dan juga selepas memasuki stadium dengan melakukan pemeriksaan badan mahupun beg.
“Penonton tidak dibenarkan sama sekali untuk membawa masuk barangan terlarang ke dalam stadium seperti mercun / bunga api / suar (flare) / dinamit, topi keledar / botol air / botol kaca / tin minuman, laser / mancis / pemetik api / power bank.
“Ini termasuk sebarang objek tajam sama ada besi, kayu atau sebagainya seperti senjata tajam seperti pisau, parang, gunting dan sebagainya 2, minuman keras serta payung / tongkat atau dron,”ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pihaknya juga tidak membenarkan sebarang penggunaan alat pembesar suara atau alat peniup yang mengeluarkan bunyi bising.
Dalam masa sama, turut memberi amaran keras kepada penyokong-penyokong kedua-dua pasukan supaya tidak menimbulkan sebarang kekacauan dan kekecohan sebelum, semasa dan selepas perlawanan dengan cara menganjurkan perhimpunan, perarakan atau membuat provokasi, pergaduhan, merusuh atau nyanyian dalam bentuk sindiran / hinaan, membakar atau menyalakan suar (flare) dan sebagainya.
“Tindakan keras akan diambil ke atas sebarang pelanggaran undang-undang yang sedia ada
“Polis trafik juga akan ditempatkan untuk mengawal aliran trafik di sekitar kawasan stadium bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan diingatkan juga kepada penonton yang berkunjung ke stadium untuk tidak meletakkan kenderaan dan menghalang jalan / laluan ke kawasan pintu utama (grand stand) Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus,” ujarnya.