Lebih RM6.5 Juta Pembinaan Masjid Kampung Mak Lagam
KEMAMAN, 28 Februari - Lebih RM6.5 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi pembinaan sebuah masjid di Kampung Mak Lagam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi dengan masjid yang bakal terbina itu.
"Alhamdulillah, hari ini saya menunaikan sekali lagi janji kepada rakyat khususnya di kawasan ini jika saya dipilih menjadi wakil rakyat, saya akan mendirikan sebuah masjid di sini.
"Terima kasih diucapkan kepada Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang telah meluluskan peruntukan ini," ujarnya.
Hanafiah turut mengharapkan dengan pembinaan masjid tersebut dapat memberikan banyak manfaat buat penduduk di kampung berkenaan dan kawasan-kawasan sekitarnya.
"Insya-Allah, marilah kita sama-sama memakmurkan masjid ini dengan menghadirkan diri secara beramai-beramai supaya dapat menjadi contoh kepada kawasan lain bahawa di sinilah tempat berkumpul, beribadat dan berdoa kepada Allah S.W.T.
"Bukan sahaja untuk kesejahteraan diri dan keluarga kita, bahkan untuk negeri dan negara kita," katanya lagi ketika ditemui pemberita, semalam.
Pembinaan Masjid Kampung Mak Lagam ini dijangka siap pada Januari 2023 dan ianya mampu memuatkan seramai 2,000 orang dalam satu-satu masa.